Baru-baru ini, seorang warga emas maut selepas dipukul oleh seorang remaja lelaki berusia 18 tahun menggunakan cota besi gara-gara berang ditegur menunggang motor dengan berbahaya di kawasan kampung.
Kejadian itu berlaku pada 16 Jun yang lalu di Kampung Buloh Ipoh, Tanah Merah dan mangsa yang mengalami kecederaan parah di muka meninggal dunia di lokasi.
Remaja berkenaan yang juga orang kurang upaya (OKU) intelektual telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tanah Merah semalam namun tiada sebarang pengakuan direkodkan, lapor Sinar Harian.

Sumber: Sinar Harian
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan perbuatan bunuh ke atas Shamsudin Mohamed, 60, di tepi jalan sebelah kedai runcit, Kampung Buluh, Gual Ipoh, di sini pada jam 6 petang.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun, maksimum 40 tahun, dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, boleh disebat tidak kurang 12 sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan tidak menawarkan jaminan ke atas tertuduh kerana pertuduhan atas kesalahan tersebut tidak boleh dijamin.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 2 September akan datang bagi laporan perubatan.