Pasti ramai individu yang kurang selesa berhubung dengan bunyi ekzos yang terlalu bising sehingga menganggu ketenteraman orang awam.
Hal ini berhubung dengan satu kejadian yang berlaku di kawasan Menara Maju Klang pada Selasa apabila seorang remaja berusia 16 tahun dibelasah oleh sekumpulan lelaki kerana bunyi ekzos motosikal terlalu bising, lapor Sinar Harian.
Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, kejadian berlaku sekitar jam 7.30 petang apabila seorang lelaki menahan seorang remaja yang sedang menunggang motosikal di lokasi berkenaan.
Mangsa ditampar dan dipukul sebelum rakan lelaki yang lain datang dan memukul remaja berkenaan dengan menggunakan kayu dan topi keledar.
Akibat dihentam oleh sekumpulan lelaki itu, remaja berkenaan menghubungi ayahnya untuk meminta bantuan namun ayahnya juga turut dipukul oleh kumpulan terbabit sejurus sampai di lokasi.
Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala manakala ayahnya luka di tangan.
Susulan itu, pasukan polis menahan enam lelaki berusia 17 tahun hingga 45 tahun yang terlibat dengan kejadian. Sisatan mendapati punca kejadian berlaku disebabkan remaja berkenaan membunyikan ekzos motosikal dengan kuat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.