Seluar pelikat oleh Afdlin Shauki adalah satu rekaan yang unik dan telah mendapat tempat di kalangan orang Melayu terutamanya. Abang Nara pun ada juga beli beberapa helai. Memang selesa memakainya. Untuk makluman, rekaan Pelikat Pants BOB Afdlin Shauki telah pun dipatenkan. Namun begitu, penjualan produk tersebut yang telah diciplak dan dicetak rompak berlaku secara berleluasa terutamanya di Jalan TAR dan Jalan Masjid India.
Akibat penjualan secara haram ini, Afdlin Shauki mengakui mengalami kerugian jutaan ringgit. Tidak mahu terus menanggung kerugian, Afdlin telah pun membuat laporan kepada KPDNKK pada minggu lalu sekaligus menyaksikan serbuan dilakukan. Laporan ini dilakukan oleh Afdlin untuk menjaga kepentingan 60 ejen berdaftar di bawah syarikatnya. Kata Afdlin:-
Sebelum ini saya diam dan beri peluang. Tapi apabila jenama BOB dipatenkan, saya perlu bertindak demi menjaga ejen-ejen berdaftar di bawah saya. Tidak adil untuk mereka kerana mereka mengeluarkan modal untuk menjadi pengedar sah.
Apabila ada pihak yang menjual produk tiruan dengan paten yang sama pada harga murah, ini akan menjejaskan perniagaan saya dan ejen saya. Semua orang tahu hendak mempatenkan juga menelan kos. Malah dengan menjual harga murah dan menawarkan kualiti rendah, ia merosakkan nama jenama saya.
Saya berterima kasih kepada penguat kuasa yang sangat efisien. Serbuan juga dijalankan dalam keadaan baik malah rampasan hanya dibuat ke atas produk tiruan Pelikat Pants jenama BOB by Afdlin Shauki sahaja. Barangan lain tidak.
Walaupun begitu, ada sesetengah pihak memandang sinis akan tindakan yang telah dilakukan oleh Afdlin Shauki ini. Malah kalau baca di laman Facebooknya, ramai yang mempertikaikan tindakan Afdlin mempatenkan Pelikat Pants kerana rekaan tersebut telah wujud lama sebelum Afdlin muncul menjualnya secara komersil. Namun begitu Afdlin ada jawapannya. Kata Afdlin lagi:-
Mereka menjual barangan tiruan dengan kualiti rendah pada harga RM50 sedangkan harga sebenar dengan kualiti yang baik adalah RM75. Malah terdapat kedai menjualnya pada harga RM80. Adilkah untuk ejen berdaftar saya yang mengeluarkan kos untuk berniaga secara sah?
Pada asalnya siapa yang menganiaya siapa. Saya hanya bertindak balas atas perbuatan tidak baik pihak lain yang meniru produk saya. Pada saya jika mahu menghasilkan produk sama, buatlah inovasi yang mempunyai ciri-ciri lain serta tidak menggunakan jenama sama
Sebenarnya pihak yang meniru 100% rekaan Pelikat Pants Afdlin Shauki ini memang tidak bermoral perbuatannya. Lebih-lebih lagi apabila nama jenama pun tak tukar. Senanglah tak perlu nak buat promosi. Cuma perlu cakap ‘ala ini seluar pelikat Afdlin tue’ dan terus orang beli. Sedangkan selaku pemilik paten, Afdlin mengeluarkan belanja yang besar bukan sahaja untuk promosi, malah untuk mendapatkan paten itu sendiri. Biasalah ini semua dugaan dunia berniaga. Semoga ia tidak membantutkan semangat Afdlin Shauki. Sumber Sinar Harian.
P.S: Sumbangan ikhlas diperlukan untuk menyiapkan pembinaan Masjid Al-Ikhlas di Kelantan. Marilah kita sama-sama bersedekah lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan ini. Boleh dermakan mana yang termampu ke akaun Maybank 553131004855. Boleh lihat perkembangan pembinaan masjid ini di Facebook Masjid Al-Ikhlas.