Hari ini merupakan hari yang bersejarah dalam dunia bola sepak Malaysia selepas pengumuman penting dibuat oleh Tunku Mahkota Johor, DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ).
Menerusi satu penulisan panjang di Facebook Johor Southern Tiger, TMJ menulis tentang pertemuannya dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (KJ).
Difahamkan, pertemuan itu diadakan bertujuan membincangkan beberapa perkara antaranya untuk memberi tawaran kepada TMJ untuk memegang tiga jawatan besar dalam arena bola sepak Malaysia iaitu Pengerusi Pasukan Kebangsaan, ketua kongres FMLLP, dan jawatan Presiden FAM.
Namun, TMJ menolak untuk memegang salah satu jawatan yang ditawarkan iaitu, Presiden FAM kerana menurut baginda, presiden FAM mestilah seorang yang neutral sedangkan baginda kini telah memegang kelab bola sepak negeri, JDT.
Mengenai dua lagi jawatan yang lain, TMJ berkata perkara itu akan diputuskan dalam satu pertemuan yang bakal diadakan kemudian.
‘Budak Mentah’ Berjaya Kalahkan Rejim 30 Tahun FAM
Selain itu, TMJ juga berkata usaha seorang pemuda yang digelar “budak mentah” telah berjaya mengalahkan rejim 30 tahun FAM yang dikawal oleh sekumpulan individu yang mementingkan diri sendiri selama ini.
“FAM dikawal oleh sekumpulan individu dan sistem yang mengawal bola sepak Malaysia dengan budaya mementingkan diri sendiri. Tidak ada seorang pun yang dapat mengubah FAM selama lebih dari 30 tahun. Kemudiannya pada suatu hari, seorang pemuda yang begitu sayangkan bola sepak telah datang dan mengambil alih pentadbiran pasukan negeri yang dicintainya. Seorang lelaki yang menyedari bahawa satu-satunya cara untuk mengubah bola sepak malaysia adalah dengan mengubah keseluruhan sistem.
“Lelaki muda ini terpaksa berjuang dengan sistem FAM, ahli politik, penyokong bola sepak Malaysia yang jahil, media dan laman sosial, serta orang-orang yang hanya tahu bercakap tetapi enggan menukar sistem. Hari ini, Exco bersetuju untuk bersara bersama-sama dengan Presiden. Pilihan raya akan diadakan dan muka baru akan dipilih untuk mengendalikan bola sepak Malaysia.
“Kepakaran luar akan dibawa masuk untuk menambah baik sistem sedia ada dan hari ini saya dengan perasaan bangga ingin menyatakan bahawa lelaki muda tersebut yang benar-benar sayangkan bola sepak dengan impian besarnya dan pernah juga digelar “budak mentah”, telah mengalahkan rejim 30 tahun FAM. Seperti pernah saya katakan sebelum ini, saya akan memusnahkan apa yang mereka bina dari awal dan membina semula ianya dengan lebih baik”, tulis baginda.
Sumber : Johor Southern Tiger
Perkongsian Penuh TMJ
BERKENAAN TAWARAN DARI MENTERI BELIA DAN SUKAN, KHAIRY JAMALUDDIN DAN APA YANG TELAH SAYA TUNJUKKAN KEPADA BELIAU
Sepertimana yang kebanyakan anda dengar, baru-baru ini saya telah diberi taklimat mengenai FAM oleh YB Khairy Jamaludin dan Datuk Seri Norza. Antara topik yang diperbincangkan adalah berkenaan untuk melantik saya sebagai Pengerusi Pasukan Kebangsaan, ketua kongres FMLLP, dan jawatan Presiden FAM.
Walaubagaimanapun, saya mempunyai cadangan saya tersendiri dan saya ingin berkongsikannya dengan penyokong bolasepak tanahair semua yang berhak tahu.
1. Presiden FAM tidak sepatutnya datang dari golongan keluarga diraja, dan juga mempunyai pertalian dengan mana-mana persatuan bola sepak negeri atau kelab-kelab yang mengambil bahagian. Beliau juga mestilah seorang yang neutral kepada semua negeri dan kelab-kelab yang mengambil bahagian.
Ini bertujuan untuk mengelakkan rasuah dan berlakunya sikap pilih kasih.
2. Pengadil mesti mempunyai sebuah Persatuan pengadil yang bebas dan dibiayai oleh kerajaan supaya mereka juga akan dibayar gaji seperti persatuan pengadil di luar negara. Ini adalah untuk menghapuskan sebarang bentuk pilih kasih dan mengelakkan berlakunya campur tangan secara halus daripada pegawai-pegawai tertinggi FAM yang akan mempengaruhi mereka.
3. Presiden dan ahli Exco yang sedia ada mesti digugurkan. Ahli-ahli Exco baru pula perlu terdiri daripada mereka yang berupaya untuk menyumbang dan bekerja demi kepentingan bola sepak negara. Jika mereka tidak mampu, maka mereka perlu berundur dan memberi laluan kepada orang-orang yang berkebolehan.
4. Ketelusan FAM dalam perancangan mereka amat diperlukan dan penyokong mesti dibenarkan sekali-sekala untuk memberi persoalan dan pertanyaan kepada FAM. Penyokong berhak untuk mengetahui apa yang sedang berlaku dalam FAM dan segala matlamat serta hala tuju FAM untuk masa-masa akan datang.
5. Untuk Pasukan Kebangsaan, kita perlu menggunakan khidmat jurulatih luar. Jurulatih dengan latar belakang, pencapaian dan rekod prestasi yang baik. Beliau juga perlu mempunyai pengalaman sebagai jurulatih kelab atau pasukan kebangsaan. Jurulatih tersebut mesti dibenarkan untuk membawa pasukannya sendiri dan melaksanakan apa jua yang telah dirancangkannya. Paling penting, beliau mesti diberikan masa untuk membuat perubahan. FAM tidak begitu berkembang sejak 30 tahun yang lalu dan saya percaya kita perlu berikan masa secukupnya dan ruang yang diperlukan oleh jurulatih baru tersebut.
6. Mesyuarat Exco perlu diadakan dan dilakukan secara penggiliran di setiap negeri dalam negara ini.
7. Semua pasukan yang bertanding perlu mempunyai program akar umbi, stadium dan pusat latihan sendiri yang akan diusahakan oleh kelab.
Baru-baru ini YB Khairy telah mencadangkan agar saya mengambil alih jawatan Presiden FAM. Saya tidak bersetuju untuk menjadi Presiden FAM kerana saya sudah mempunyai JDT. Akan ada konflik kepentingan kerana saya akan lebih cenderung ke arah negeri saya. Seperti yang saya nyatakan berpuluh-puluh kali sebelum ini, kita perlu mencari seseorang yang tidak mempunyai sebarang pertalian dengan mana-mana persatuan bola sepak negeri atau kelab-kelab yang mengambil bahagian.
Berkenaan tawaran Pengerusi Pasukan Kebangsaan dan Ketua Kongres untuk FMLLP yang akan dipertimbangkan, saya akan menanti pertemuan sekali lagi dengan YB Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Norza sebelum membuat sebarang keputusan. YB Khairy Jamaluddin telah memberikan formula beliau, dan saya telah membentangkan pandangan saya untuk maklumat penyokong semua.
Kepada semua penyokong bola sepak di seluruh negara, tindakan saya membuktikan bahawa dua perkara yang sememangnya merupakan fakta. Pertama, saya bukan seseorang yang mementingkan diri sendiri, pemanipulasi, dan terbabit dalam gejala rasuah, kerana jika saya adalah sedemikian rupa, saya pasti akan menerima tawaran untuk menjadi presiden sekarang ini. Kedua, FAM dikawal oleh sekumpulan individu dan sistem yang mengawal bola sepak Malaysia dengan budaya mementingkan diri sendiri. Tidak ada seorang pun yang dapat mengubah FAM selama lebih dari 30 tahun. Kemudiannya pada suatu hari, seorang pemuda yang begitu sayangkan bola sepak telah datang dan mengambil alih pentadbiran pasukan negeri yang dicintainya. Seorang lelaki yang menyedari bahawa satu-satunya cara untuk mengubah bola sepak malaysia adalah dengan mengubah keseluruhan sistem.
Lelaki muda ini terpaksa berjuang dengan sistem FAM, ahli politik, penyokong bola sepak Malaysia yang jahil, media dan laman sosial, serta orang-orang yang hanya tahu bercakap tetapi enggan menukar sistem. Hari ini, Exco bersetuju untuk bersara bersama-sama dengan Presiden. Pilihan raya akan diadakan dan muka baru akan dipilih untuk mengendalikan bola sepak Malaysia. Kepakaran luar akan dibawa masuk untuk menambah baik sistem sedia ada dan hari ini saya dengan perasaan bangga ingin menyatakan bahawa lelaki muda tersebut yang benar-benar sayangkan bola sepak dengan impian besarnya dan pernah juga digelar “budak mentah”, telah mengalahkan rejim 30 tahun FAM. Seperti pernah saya katakan sebelum ini, saya akan memusnahkan apa yang mereka bina dari awal dan membina semula ianya dengan lebih baik (Walaubagaimanapun, saya mendapat idea ini dari sebuah organisasi rahsia, bukan dari filem X-Men. Haha…).
Dan saya ingin mengucapkan terima kasih atas ‘Latihan Operasi Hitam’ di Luar Negara yang telah menjadikan saya seorang lelaki sepertimana saya hari ini. Kepada penyokong bola sepak Malaysia, ia merupakan satu penghormatan melakukan perkara ini untuk anda… Terima Kasih.
DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor