October 8th, 2011

Sebenarnya filem ini ditonton oleh kami minggu lepas di Berjaya Times Square pada hari pembukaannya. Kami tidak tahu bagaimana jalan ceritanya pada asalnya, hanya menonton kerana reputasi Jet Li sebagai seorang superstar filem aksi dan juga kerana kami minat dengan Eva Huang yang pernah berlakon sebagai seorang gadis bisu dalam filem Stephen Chow, iaitu Kung-Fu Hustle.

Setelah menontonnya, kesimpulan yang dibuat ialah ia filem yang menarik, walau bagaimanapun dicacatkan sedikit dengan penggunaan teknik imej janaan komputer (CGI) yang tidak begitu realistik. Ini walau bagaimanapun tidak bermakna keseluruhan CGI filem ini tidak realistik. Babak-babak permulaan filem ini menampilkan CGI yang amat baik, dan memaparkan pertarungan antara Jet Li dan Dewi Ais dari sudut kamera berputar seperti babak-babak pertarungan Cloud Strife dengan klon-klon Sephiroth dalam filem Advent Children (2004).

Dari segi jalan cerita, ianya seperti kisah dongeng cina purbakala yang kami pernah baca di zaman remaja. Mengisahkan tentang seorang Ketua Sami sebuah kuil (Jet Li) yang berkhidmat menghalau hantu-hantu di sebuah negeri. Dalam masa yang sama terdapat dua ekor syaitan jelita iaitu Ular Putih lakonan Eva Huang dan Ular Hijau lakonan Charlene Choi.

Ular Putih telah jatuh cinta dengan seorang pemuda yang merupakan seorang pengumpul herba dan pakar ubatan, dan telah menjelma sebagai seorang gadis biasa untuk memikat pemuda ini tadi. Pemuda ini jatuh cinta dengan Ular Putih dan mereka berkahwin, tetapi Ketua Sami lakonan Jet Li tahu bahawa Ular Putih adalah manusia jelmaan syaitan.

Keseluruhan artikel rebiu ini boleh anda dapati dengan membaca gosip ini sepenuhnya.

Walaupun Ular Putih adalah syaitan yang baik, Ketua Sami berpendapat yang dunia manusia tidak boleh dicampuri oleh syaitan memandangkan Ular Putih membuat pembuat herba jatuh cinta padanya menggunakan esen ular dan mengubah seluruh takdir kehidupan pembuat herba.

Jadi bermulalah pertarungan antara hak dan batil di antara Ketua Sami dengan Ular Putih yang berusia beribu-ribu tahun tadi bersama adiknya Ular Hijau.

Adakah kami mengesyorkan anda menonton filem ini? Jawapannya ya. Dari segi jalan cerita ia memang menarik walaupun sedikit ringkas kerana ianya merupakan sebuah cerita dongeng mistik. Lakonan Jet Li sebagai Ketua Sami yang serius sudah tentu saja berkesan, begitu juga lakonan Eva Huang dan Charlene Choi sebagai Dewi Ular . Filem ini bermain sedikit dengan emosi penonton di akhir cerita, kami sendiri tidak pasti sama ada kami menyokong Ular Putih di akhir cerita. Aksi pertarungan sudah tentu super kerana Jet Li yang melakukannya.

Cuma seperti yang kami katakan, teknik CGI yang tidak begitu realistik pada suku terakhir filem ini agak mencacatkan penghayatan kami.

Markah keseluruhan: 3.75/ 5 bintang


Comments are closed.

Loading...