October 22nd, 2011

Rebiu ini mengandungi spoiler: baca atas risiko sendiri.

Sebenarnya kami tidak begitu menantikan filem ini, hanya berminat kerana kami adalah peminat tegar Hugh Jackman yang begitu dikenali dengan watak Wolverine dalam filem X-Men, dan juga si cantik Evangeline Lilly yang mula dikenali melalui siri televisyen LOST. Ianya adalah  sebuah filem yang berkisar pada masa hadapan, di mana tinju robot adalah sejenis sukan yang diminati ramai.

Charlie Kenton (Hugh Jackman) adalah bekas penggusti yang kini menumpukan perhatian untuk menjana wang melalui sukan tinju robot dengan dibantu oleh teman wanitanya, Bailey (Evangeline Lilly) tetapi sikapnya yang agak terburu-buru menyebabkan dia kalah banyak perlawanan dan berhutang. Melalui satu perjanjian, dia telah berjaya mendapatkan wang yang cukup untuk membeli satu lagi robot bernama Noisy Boy untuk berlawan tetapi dalam masa yang sama dia diberi tanggungjawab untuk menjaga anak lelakinya, Max yang berusia 11 tahun selama dua bulan sebelum diserahkan kembali kepada bekas kakak iparnya yang memiliki hak penjagaan sah anak itu.

Max (Dakota Goyo) walau bagaimanapun mempunyai perangai yang sama dengan bapanya, degil dan cerdas. Charlie dan Max mengembara bersama untuk menyertai perlawanan liga robot menggunakan Noisy Boy, walau bagaimanapun, robot itu musnah bila Charlie gagal mengawalnya. Dalam usaha mencari robot baru, Charlie dan Max telah terjumpa secara tidak sengaja dengan sebuah robot generasi lama iaitu Atom di tempat pembuangan sampah.

Walaupun Charlie menganggap Atom sebagai sampah, Max sayangkan robot itu dan cuba membaikinya. Atom yang direka sebagai robot ‘punching bag’ mempunyai ketahanan yang tinggi, tetapi tidak begitu bagus dalam menyerang. Salah satu ciri Atom yang tidak ada pada robot lain ialah keupayaannya untuk meniru dan mengingat pergerakan orang dan secara misterinya ia juga memiliki ‘semangat untuk tidak menyerah kalah’ yang datangnya entah dari mana.

Dengan kawalan Max dan panduan dari Charlie, Atom telah berjaya memberi kejutan dalam perlawanan demi perlawanan sehingga pada satu tahap, ia berjaya mendapatkan satu perjanjian perlawanan menentang juara liga robot yang jauh lebih besar dan kuat darinya iaitu Zeus yang dikawal oleh Tak Mashido (Karl Yune). Adakah Atom, robot generasi lama dari tempat pembuangan sampah itu akan berjaya memenangi perlawanan menentang robot Zeus? Anda perlu ke pawagam untuk mengetahui sendiri.

Real Steel mungkin bukan sebuah filem yang menuntut anda berfikir, dan tidak juga mencabar minda, malah kami fikir ia bukan sebuah filem yang berusaha untuk kelihatan sebegitu. Tetapi ianya berjaya dengan apa yang ingin dilakukannya iaitu membuat anda terhibur dengan watak-wataknya yang menimbulkan keceriaan. Lagi pula filem jarang boleh gagal dengan watak underdog menentang superior yang lebih berkuasa, kerana kita semua sukakan underdog. Lakonan Hugh, Evangeline dan Dakota juga kelihatan hidup dan mereka ada kimia yang baik di permukaan skrin.

Dan bila anda dapati penonton di sekeliling dalam pawagam dan juga bersorak untuk Atom, Charlie dan Max dalam perlawanan menentang Zeus seolah-olah ia perlawanan yang sebenar, anda menyedari yang filem ini lebih dari sekadar sebuah filem untuk menghiburkan anda. Tahap keterlibatan penonton dalam filem ini adalah lebih dari apa yang mampu dicapai oleh filem robot berbajet mega arahan Michael Bay (Transformers).

Untuk itu, filem ini wajar diberi 4.5 / 5 bintang.


Comments are closed.

Loading...