Pelakon Rebecca Nur Al-Islam berkongsi detik penuh makna apabila berjaya menamatkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, dalam majlis konvokesyen pada Khamis.
Menerusi hantaran di Instagram, Rebecca memuat naik foto bersama anak-anak sambil mengenakan jubah konvokesyen, menzahirkan rasa syukur atas kekuatan yang diberikan sepanjang hampir lima tahun menghabiskan pengajian.
Rebecca mengakui perjalanan akademiknya penuh cabaran, lebih-lebih lagi ketika perlu menggalas pelbagai tanggungjawab dalam satu masa.
“Sesungguhnya perjalanan pembelajaran selama hampir 5 tahun bukanlah mudah kerana dalam masa yang sama saya ibu kepada 7 orang anak yang masih kecil.
Saya lah anak perempuan, saya lah isteri (pada ketika itu), dan saya juga bekerja mencari rezeki halal untuk anak-anak.”
Mengimbau perjalanan hidupnya, Rebecca berkata segala ujian masa lalu menjadikan dirinya lebih reda dan meletakkan sepenuh kebergantungan kepada Allah.
Saya sedar dunia ini hanya sementara. Saya sedar saya hanya di sini sebagai pinjaman Allah. Saya reda apa sahaja yang terjadi dan saya bersyukur kerana percaya Allah sayang saya.
Menurut Rebecca, semua pengalaman pahit itu secara tidak langsung memberinya kekuatan demi anak-anak serta keluarga.
Dalam kapsyen sama, Rebecca meninggalkan pesanan penuh makna buat anak-anaknya agar terus kuat menghadapi dugaan hidup.“Ingat hidup tidak selalunya indah, sayang. Kita pasti akan diuji.
Pegang teguh pada agama dan Al-Quran. Pandangan orang lain tidak penting… kita senyum dan ucap Alhamdulillah.
Perkongsian tersebut menerima ucapan tahniah daripada peminat serta rakan selebriti, yang bangga melihat kejayaan Rebecca menamatkan pengajian meskipun berdepan pelbagai cabaran hidup.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
