Hasrat Ismanira Abdul Manaf, 30, untuk menangguhkan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya berhubung kes pengabaian anaknya, Allahyarham Zayn Rayyan, tidak kesampaian apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan tersebut.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Aslam Zainuddin selepas meneliti afidavit serta hujahan bertulis dan lisan yang dikemukakan oleh pihak pemohon dan responden.

“Permohonan ditolak disebabkan tiada keadaan khas,” katanya ketika membacakan keputusan.
Untuk rekod, Ismanira telah menjalani hukuman penjara selama 53 hari termasuk hari ini, selepas Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 31 Oktober lalu mensabitkannya bersalah atas kesalahan mengabaikan anak sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen Dr Syahliza Warnoh memerintahkan Ismanira dipenjarakan serta-merta di Penjara Wanita Kajang selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira sebagai individu yang mempunyai tanggungjawab pemeliharaan terhadap anaknya yang berusia enam tahun ketika kejadian, didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak tersebut dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berhampiran antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

