Pendakwah selebriti, Da’i Syed, dihantar ke penjara hari ini selepas Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas kesalahan merogol seorang wanita, yang berlaku tujuh tahun lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Adlin Abdul Majid, selepas meneliti hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan dalam permohonan rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan sebelum ini.
Dalam penghakimannya, Hakim Adlin memutuskan bahawa Hakim Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf dalam membuat keputusan dan mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Menurut mahkamah, keterangan tertuduh yang juga dikenali dengan nama sebenar Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful, 31, hanya bersifat penafian semata-mata dan tidak disokong dengan bukti yang kukuh.

Mahkamah turut menegaskan tiada alasan khas untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman memandangkan kesalahan tersebut merupakan kes yang serius.
“Ia merupakan kesalahan yang serius dan sabitan serta hukuman yang dikenakan sebelum ini adalah selamat. Justeru, hukuman penjara itu bermula hari ini,” tegas Hakim Adlin.
Dengan keputusan itu, hukuman penjara terhadap Da’i Syed berkuat kuasa serta-merta bermula hari ini. – KOSMO ONLINE
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
