Syarikat penerbangan tambang murah patuh syariah pertama Malaysia, Rayani Air menggantung operasinya berkuat kuasa serta-merta.
Perkara itu diberitahu oleh pemilik syarikat terbabit, Ravi Alagendrran kepada mStar Online pada Sabtu.
Menurutnya, pergantungan itu akan berkuat kuasa sehingga ke sat tempoh yang akan dimaklumkan semula.
“Ingin dimaklumkan bahawa kita telah menggantung operasi berkuat kuasa serta-merta pada 8 April 2016 sehingga dimaklumkan kemudian.
“Ia adalah sebahagian daripada pelan penstrukturan semula syarikat. Kita akan beroperasi semula selepas melakukan penstrukturan semula,” katanya sebagai mana lapor mStar Online.
Ravi juga berkata, pihaknya telah memaklumkan perkara yang sama kepada pegawai syarikat tersebut menerusi emel.
Berdasarkan emel itu, Ravi meminta pegawainya supaya mengarahkan bahagian masing-masing menghentikan operasi dan ‘mengira semula aset syarikat’.
“Semua bayaran balik dan pertanyaan berkaitan dengan penumpang yang telah ditempah awal, perlu dipanjangkan kepada [email protected] atau hubungi pusat panggilan di +603-27214925 (beroperasi setiap hari dari pukul 9 pagi sehingga 6 petang),” ujar Ravi.
Dalam pada itu, Ravi turut mengesahkan bahawa Rayani Air terpaksa membatalkan penerbangannya berikutan mogok yang dilancarkan juruterbangnya.