Rawatan Terapi Ozon Diharamkan KKM, Denda RM 200,000 Bagi Yang Degil.

Trending

Rawatan Terapi Ozon Diharamkan KKM, Denda RM 200,000 Bagi Yang Degil.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengharamkan rawatan terapi ozon dan mengarahkan semua premis perniagaan termasuk klinik dan salun kecantikan berhenti dari menawarkan khidmat itu secara serta merta.

Advertisement

Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata penilaian teknologi kesihatan yang dijalankan Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan (MaHTAS) mendapati tiada bukti saintifik yang menyokong sebarang manfaat terapeutik penggunaan terapi ozon bagi mana-mana penyakit.

“Terapi ozon ini tidak diiktiraf oleh mana-mana negara di dunia ini. Ia juga boleh menyebabkan komplikasi perubatan yang teruk termasuk membawa kepada kematian,” katanya sebagaimana lapor Bernama.

Tambah beliau lagi, tiada mana-mana pihak yang menjalankan rawatan itu mendaftarkan mesin mereka dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

Beliau berkata, semua pembuat, pengimport dan pengedar mesin terbabit perlu menarik semula pengedaran atau penggunaan mesin itu dari pasaran selewat-lewatnya 1 Julai.

Mereka yang gagal berbuat sedemikian boleh didakwa dibawah Akta Peranti Perubatan 2012 yang membawa kepada hukuman denda maksimum RM200,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Pihak kementerian mendapati mesin ini kebanyakannya dipasang dalam negara manakala peralatan dalaman diimport dari luar negara,” katanya.

Malah, kata beliau, penggunaan produk heparin (ubat untuk mencairkan darah) bagi rawatan terapi ozon juga adalah satu kesalahan di bawah Akta Racun dan Akta Jualan Dadah 1952 yang dikuatkuasakan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF).

Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pusat penjagaan kesihatan berlesen atau berdaftar di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998, yang menawarkan rawatan terapi ozon.

Sebelum ini, isu rawatan terapi ozon tular di media sosial selepas beberapa artis terkenal tanah air mempromosikan kaedah rawatan itu yang dikatakan mampu merawat pelbagai penyakit serta melambatkan penuaan.

Bagaimanapun, artis-artis terbabit kemudiannya menarik balik sokongan mereka terhadap terapi itu selepas ia tidak diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan.

Sumber: mStar Online

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...