Ratusan Individu Buang Kerakyatan Malaysia Kerana Ingin Jadi Warga Britain Kini Menyesal

Kehidupan

Ratusan Individu Buang Kerakyatan Malaysia Kerana Ingin Jadi Warga Britain Kini Menyesal

Apabila Adam (bukan nama sebenar) diberitahu oleh kerajaan UK bahawa dia akan dibuang negeri ke Malaysia pada tahun 2011, dia fikir mereka tersilap. Lelaki berusia 37 tahun itu sudah tinggal di Britain selama enam tahun, dan walapun dia tiada kerakyatan, dia tahu negara tanah airnya takkan membenarkan dia masuk.

Walaupun telah mencuba untuk memberi penerangan pada pihak berkuasa British bahawa dia ialah salah seorang Rakyat Seberang Laut British (BOC) di Britain di mana kesnya masih belum diselesaikan, Penguatkuasa Sempadan tetap ingin mengeluarkan dia dari Britain. Diiringi tiga orang pegawai, dia dibawa menaiki kapal terbang.

Advertisement

Seperti yang dia jangkakan, pihak berkuasa Malaysia menyekat dia dari masuk ke dalam negara. Ini kerana dia telah membuang kerakyatannya pada tahun 2005–keputusan yang diambil setelah dia mendengar nasihat dari dua orang peguam dan Kedutaan Tinggi Malaysia, dan kini dia menyesali semuanya.

Hanya dalam beberapa jam, Adam diterbangkan balik ke UK, dan bagi Adam ia satu ‘pembaziran wang yang mutlak’.

Mengimbas semula kejadian itu, dia berkata:

Saya terkejut dan keliru kerana mereka beritahu saya dibuang negeri semasa saya ke Pejabat Dalam Negeri kerana melapor diri secara normal.

Mereka memindahkan saya dari balai polis ke beberapa pusat tahanan dalam masa seminggu sebelum dua penerbangan panjang ke Malaysia kemudian balik semula tanpa berehat, dengan tiga orang pegawai mengiringi saya.

Saya rasa macam penjenayah yang teruk malah macam bukan manusia. Saya sangat letih selepas minggu perjalanan tragik itu yang sukar saya lupakan.

Adam ialah salah seorang dari ratusan mantan rakyat Malaysia yang dianggap ‘tiada kerakyatan’ sejak lebih sedekad lepas apabila mereka diyakinkan bahawa paspot BOC–salah satu tinggalan dari zaman penjajahan silam UK–akan membolehkan mereka menjadi rakyat UK.

Staf Pejabat Dalam Negeri mengesahkan bahawa kesemua individu ini ‘terperangkap’ disebabkan Malaysia enggan membenarkan mereka masuk semula ke dalam negara manakala Kerajaan UK juga enggan memberikan mereka sebarang status, menyebabkan mereka tidak boleh bekerja dan menyebabkan mereka terpaksa bekerja dalam bidang yang tidak melayan mereka dengan adil supaya mereka dapat meneruskan hidup.

Sesetengah dari mereka ditahan di pusat imigresen sebelum dibebaskan kerana tiada prospek untuk mengeluarkan mereka.

Sejak dibebaskan dari tahanan, Adam bekerja dalam bidang di mana dibayar sedikit sahaja wang tunai untuk kerja penghantaran tidak rasmi dan bergantung pada rakan-rakan untuk mendapatkan tempat tinggal.

Menceritakan keadaannya, Adam berkata:

Ia menyedihkan dan meletihkan. Saya hanya bekerja dalam bidang tanpa dokumen dan perlu terus hidup sendiri, dan bila Pejabat Dalam Negeri tanya, saya kena cakap saya tiada kerja. Bagaimana kami hendak terus hidup?

Saya ingin kembali ke Malaysia, tapi tak boleh. Saya tersekat, tak dapat ke mana-mana. Saya hanya menanti di sini, membazir kehidupan saya.

Salah seorang yang terkesan ialah Yan Kit (bukan nama sebenar), 42, yang tiba di UK pada tahun 2001 untuk belajar kejuruteraan mekanikal. Masalahnya bermula pada tahun 2005, apabila dia, seperti Adam, diyakinkan bahawa dia boleh mendapatkan kerakyatan Britain jika dia membuang kerakyatan Malaysia.

Katanya, dia ingin kembali ke Malaysia, di mana isterinya tinggal, tetapi pihak berkuasa Malaysia memberitahunya sendiri tiada jalan untuk dia kembali tinggal di Malaysia.

Yan Kit kini tinggal dengan bapa saudaranya dan tidak dapat mencari tuan rumah yang mahu menyewakan bilik kepadanya tanpa status kewarganegaraan UK, dan telah ditahan pada tahun 2015 oleh pegawai imigresen dalam satu serbuan di sebuah bengkel di mana dia bekerja. Katanya:

Mereka cuba menghubungi kerajaan Malaysia kerana mahu membuang saya, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana saya bukan lagi rakyat Malaysia. Jadi akhirnya saya dibebaskan. Mereka tidak lakukan apa-apa untuk bantu saya selesaikan masalah ini.

Sejak itu saya tidak dibenarkan bekerja. Saya kini hanya duduk di rumah. Setiap bulan saya perlu melapor diri ke agensi sempadan UK, tetapi ia tak bermakna apa-apa. Mereka hanya catitkan satu tarikh dan biarkan saya balik. Jika saya tanya soalan, mereka tak dapat beri penerangan. Mereka hanya beri tarikh seterusnya untuk saya lapor diri.

Kit berkata dia dibenarkan melawat isterinya di Malaysia dengan visa, bagaimanapun tempohnya hanya sebulan dan perjalanan pula menelan belanja besar.

Jika saya boleh dapat kembali kerakyatan Malaysia, saya ingin kembali.

Liew Teh (bukan nama sebenar), seorang lagi yang terkesan dengan isu ini merasa terkejut apabila diberitahu oleh satu agensi pekerjaan pada tahun 2009 bahawa dia tidak boleh bekerja di mana-mana di Britain kerana status imigresennya.

Berusia 38 tahun dan tinggal di Telford, dia menghabiskan pengajian peringkat sarjana dalam bidang kejuruteraan di UK pada tahun 2006, dan memohon kerakyatan Britain selepas membuang kerakyatan Malaysianya atas nasihat seorang peguamcara.

Saya belajar peringkat ijazah, dan kehidupan saya terhenti di situ, tidak dapat diteruskan. Saya tak dapat gunakan kemahiran saya. Saya ingin kejar impian saya, kerjaya saya, tapi semuanya kucar-kacir.

Saya mengalami kemurungan teruk. Saya tak dapat kembali (ke Malaysia) untuk jumpa ibu bapa saya, sebab saya khuatir tak dapat balik semula. Saya tak dapat jalinkan hubungan dengan sesiapa kerana semuanya tersekat.

Teh berkata, dia kini tidak mampu mengupah peguam, dan sedang cuba menyelesaikan masalah ini sendiri, dan mendedahkan masalahnya kepada pihak media ialah jalan terakhir. Dia menambah:

Saya bersyukur punya rakan-rakan, tapi saya tak boleh bergantung pada mereka selamanya. Sesuatu perlu dilakukan supaya saya dapat teruskan kehidupan.

Jurucakap Pejabat Dalam Negeri berkata, mereka akan bekerjasama dengan BOC dari Malaysia yang ingin mengetahui status imigresen mereka. – amazingnara.com via The Independent

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...