Bekas Pengerusi Felda, Mohd Isa Abdul Samad, diperintah menjalani hukuman penjara selama enam tahun bermula Selasa selepas Mahkamah Persekutuan mensabitkannya atas sembilan kes rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, kira-kira 12 tahun lalu.
Keputusan itu bermakna bekas Naib Presiden UMNO berusia 77 tahun tersebut akan menyambut Ramadan dan Aidilfitri di sebalik tirai besi.

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Datuk Nordin Hassan bersama Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, selepas menerima rayuan pihak pendakwaan untuk mensabitkan semula Mohd Isa.
Ketika keputusan dibacakan, suasana di galeri awam bertukar hiba apabila ahli keluarga Mohd Isa dilihat menangis sebelum beliau dibawa polis ke lokap dan seterusnya ke Penjara Sungai Buloh tanpa sempat memeluk ahli keluarganya.
Dalam penghakimannya, Nordin berkata panel mendapati keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membebaskan Mohd Isa adalah terkhilaf.
Pendakwaan dalam kes ini diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz selaku perayu, manakala Mohd Isa diwakili peguam M. Athimulan dan Datuk Abu Bakar Isa Ramat.
Pada 3 Februari 2021, Mohd Isa dijatuhi hukuman penjara 54 tahun dan denda RM15.45 juta selepas disabitkan sembilan pertuduhan rasuah, namun semua hukuman berjalan serentak menjadikan tempoh pemenjaraan enam tahun.
Kesalahan itu melibatkan penerimaan suapan RM3.09 juta sebagai balasan meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel Suites pada harga RM160 juta.
Mohd Isa didakwa melakukan kesalahan tersebut di Menara Felda, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015. – Sinar Harian
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
