Anak adalah rezeki dari Allah SWT. Sekuat mana pun kita berusaha, jika belum ditakdirkan memiliki rezeki tersebut, maka bersabarlah. Pasangan mana yang tak nak anak. Semua pasangan yang sudah berumahtangga, pasti mahukan anak.
Mungkin ada yang tersentuh hati dan tersentap seketika jika ada disekeliling yang bertanya bila mahu dapat anak. Apa yang mampu dilakukan hanyalah tersenyum dan mendiamkan diri ataupun menjawab “belum ada rezeki,doakanlah ye”.
Jangan khuatir dan jangan risau ye kalian.
Kesabaran anda semua insha Allah sentiasa akan membuahkan hasil di kemudian hari kerana setiap yang terjadi adalah daripada rancangan Allah SWT dan Dia lah sebaik-baik perancang.
Ayuh baca perkongsian lelaki ini mengenai ‘rezeki anak’..
Akhirnya ada sedikit kelapangan untuk den kongsi apa yang den dan isteri telah usahakan demi mendapatkan zuriat. Maaf agak lewat.
Post ini agak panjang, namun inshaaAllah berbaloi untuk sahabat-sahabat yang telah berkahwin namun belum dianugerahkan rezeki cahaya mata penyeri keluarga.
Untuk pengetahuan kalian, setelah agak lama den dan farah berkahwin dan masih belum ada rezeki dikurniakan cahaya mata, kami tergerak hati untuk melakukan pemeriksaan.
Ada 3 perkara utama yang telah kami usahakan;
1) Pemeriksaan doktor pakar sakit puan
Ini adalah langkah pertama yang kami lakukan. Untuk pastikan adakah ada masalah dari sudut kesihatan yang menyebabkan kami tidak dikurniakan zuriat.
Doktor akan memeriksa kedua-dua pasangan suami dan isteri. Jangan ingat bila tidak dikurniakan zuriat, semuanya adalah disebabkan wanita, INI SALAH.
Atas nasihat daripada sahabat Muslih Thani yang pernah mengalami masalah yang sama, kami memilih Doktor Mashitah di Wangsa Maju.
Untuk SUAMI, prosesnya agak mudah. Doktor akan beri satu bekas untuk anda isi dengan “air mani”, bagaimana caranya, itu bergantung kepada kreativiti dan kebijaksanaan kau dan pasangan. Jangan sampai tertumpah keluar sudah la. Dah la tak banyak, tumpah pula. Haha.
Daripada sampel air mani tersebut, doctor akan periksa kepekatan dan jumlah “sperma”, den tak ingat minimum kepekatan dan jumlah sperma yang perlu ada. Apa yang pasti, den lulus dengan cemerlang. Yeaaahhaaaa.
Untuk ISTERI pula, yang pertama doktor akan periksa uterus (tempat peranakan/rahim) kau sama ada normal atau terbalik, dalam bahaso nismilan dipanggil “introverted or retroverted uterus”. Setelah diperiksa, uterus Fara dalam keadaan terbalik/retroverted.
Ada desas desus yang mengatakan, perempuan yang uterusnya terbalik/retroverted agak sukar untuk mendapatkan zuriat. Wallahualam. Biasanya perempuan yang mempunyai retroverted uterus selalu mengalami senggugut ketika datang bulan.
Step yang ke-2 adalah untuk cek tiub folopio. Apa dia tiub folopio ni? Lepas kau suami isteri bersama, nanti sperma tu akan berenang melalui tiub folopio ni la untuk bercantum dengan ovum.
Doktor akan gunakan kaedah HSG untuk pastikan sama ada tiub folopio kau tersumbat atau tidak. Untuk step ke-2 ni, klinik Doktor Mashitah tidak sediakan perkhidmatan, dan mereka nasihatkan untuk pergi jumpa doktor pakar di Columbia Hospital Setapak.
Untuk sahabat-sahabat yang berpegang pada prinsip pesakit perempuan wajib diuruskan oleh doktor perempuan, kau kena cari hospital lain yang boleh buat HSG ni, dan kemungkinan besar kena tunggu giliran yang agak lama.
HSG ni prosesnya agak mudah, doktor akan tembak sejenis cecair dalam kemaluan dan doktor akan tengok sama ada cecair tersebut boleh melalui tiub folopio dengan jayanya atau tidak.
Jika tidak, maknanya tersumbat, dan setiap kali kau “bersama” suami isteri, sperma hebat dan sado tetap gagal menembusi untuk bersenyawa dengan si ovum (telur wanita).
HSG ni agak sakit, sedih den tengok Fara tahan sakit. Itulah pengorbanan. Sakitnya menurut Fara, atas sikit daripada senggugut.
Den pun tak mengerti, cuma angguk saja. Yang den tahu sakit tengah kayuh basikal, tersalah posisi “landing” kat batang besi tengah basikal dan sakit kena sunat.
Daripada pemeriksaan HSG, didapati tiub folopio sebelah kanan Fara tersumbat, yang boleh guna Cuma sebelah kiri, jadi peluang untuk mengandung cuma 50%.
Step ke-3, kembali jumpa Doktor Mashitah dengan keputusan HSG. Doktor Mashitah akan set satu tarikh yang sesuai untuk dia monitor telur/ovum dari segi jumlah dan pembesaran.
Ada sesetengah perempuan telurnya sedikit, dan ada juga yang telurnya banyak tapi tidak membesar. Untuk mengandung, kau perlu ada jumlah telur yang cukup dan membesar dengan jayanya. Dalam kes ni, didapati ovum Fara banyak tapi tak membesar dengan jayanya.
Step ke-4, Doktor Mashitah akan bagi satu suntikan untuk besarkan ovum dan akan set satu tarikh untuk bagi suntikan lain untuk pecahkan ovum tersebut.
Selepas step ke-4 ni, Doktor Mashitah akan bagi tarikh dan waktu yang sesuai untuk kau suami isteri bersama, posisi serta arah tembakan yang sesuai.
Agak leceh juga, sebab otak kau akan jadi stress terpaksa ikut waktu yang ditetapkan, walhal hubungan suami isteri ni bukan boleh dipaksa-paksa. Kau tengah tidur, kelam kabut bangun bunyi jam loceng sebab terpaksa “bersama” mengikut jadual yang ditetapkan. Haha.
Selepas tu, Doktor Mashitah akan pantau, sama ada persenyawaan berlaku atau tidak. Jika masih belum berjaya, doktor akan nasihatkan beberapa perkara. Atas nasihat doktor kami cuba pula kaedah lain.
Step ke-5, kaedah ni den lupa nama dia. Suami kena masukkan “air mani” dalam bekas, kemudian doktor bagi suntikan pada Fara supaya dia mamai dan tertidur. Lepas tu doktor akan gunakan alat untuk tembak “air mani” tersebut ke dalam faraj isteri.
Selepas selesai 5 step ni, kami terpaksa tangguhkan rawatan disebabkan Fara agak sibuk dengan kerja di Perodua. Doktor Mashitah ni sangat bagus dan baik orangnya, islamik dan perwatakan macam seorang ibu.
Setiap kali lepas rawatan, dia akan berdoa, dan mulut asyik cakap benda yang baik-baik.
Doktor Mashitah juga bagi kami list makanan sunnah untuk diamalkan macam kurma, olive oil, pati delima. Kami amalkan dan Alhamdulillah terasa perbezaan pada diri kami.
Cuma kau kena bersabar untuk tunggu giliran. Temujanji pertama pun biasanya kena tunggu sebulan. Dan pada hari temujanji, kau tak pasti lagi jam berapa boleh jumpa.
Pertama kali pergi, sepatutnya temujanji jam 4.30 petang, kami sampai awal jam 3.30 petang, tapi dapat jumpa doctor pukul 1.40 pagi. Punyalah lambat, sampai terpaksa “check in” hotel di Sri Gombak. Haha.
Kos juga agak tinggi, jenuh juga den korek tabung untuk setiap sesi rawatan.
2) Kaedah urutan oleh orang kampung
Yang ni kebetulan kami balik keKedah, ada orang cadangkan beurut dengan seorang akak ni namanya Niza. Akak ni muda lagi, anak ramai dan mewarisi ilmu urutan dari nenek dia. Dia datang mengurut sampai ke KL.
Masa urut, dia pegang perut Fara dan dia memang cakap peranakan Fara ni terbalik.
Akak ni juga bagitahu yang badan Fara banyak angin, angin yang terlampau banyak ni kalau tak dibuang, memang susah nak mengandung. Wallahualam.
Bulan pertama selepas urut, kak Niza “follow up” namun belum ada tanda positif. SUGUL dan kuciwa. Tapi kami jadi bersemangat bila kak Niza maklumkan inshaaAllah ada rezeki, ada orang dah kahwin 7 tahun belum dapat anak dan mengandung selepas urut dengan dia.
Masuk bulan yang ke-2, Alhamdulillah Fara positif mengandung. Kami cuma maklumkan pada ibu ayah dan adik beradik, sebab masih terlalu awal, dikhuatiri rezeki kandungan tak panjang. Untuk urutan ni, perlu jalani 3 hari berturut-turut ya.
3) Doa dan tawakal
Ada ramai sahabat-sahabat yang bagi nasihat doa dan ayat yang perlu amalkan, antaranya Ayat 10 surah Al-anbiya (baca 7 kali sambil letak tapak tangan di ari-ari isteri) dan baca surah Jin (katanya kadang-kadang ada jin yang sengaja tak nak bagi isteri mengandung). Wallahualam.
Antara yang den selalu amalkan, den doa masa sujud terakhir solat supaya dikurniakan zuriat yang baik, minta orang yang nak pergi Umrah untuk tolong doakan depan Ka’abah dan bagi sedekah setiap kali jumpa bayi yang baru lahir sambil doa moga satu hari nanti den pun akan dikurniakan zuriat.
Kita sebagai orang Islam perlu percaya bahawa rezeki anak itu ialah dengan izin dan rahmat Allah SWT. Amalkan doa untuk cepat mengandung dan sentiasa la meminta kepada-Nya.
Islam itu indah dan memudahkan. Lebih baik meminta pada Allah SWT kerana Dia adalah Yang Maha Pencipta.Moga bermanfaat buat kalian. Moga kalian semua dikurniakan zuriat-zuriat yang comel, soleh dan solehah.
Sumber: Izzat Ismail