Penyanyi rock terkemuka, Bandi dari kumpulan Amuk memberitahu bahawa dia telah berjaya khatam Al-Quran setelah hampir tiga tahun menuntut ilmu.
Bandi Amuk turut mendedahkan bahawa dia pernah membaca Al-Quran sambil mata tertutup kerana terlalu letih dan penat.
Pemilik nama Nasabandi Jumaat,57, ini berkata walaupun dia telah dinasihati agar tidak hadir ke kelas mengaji jika terlalu sibuk atau penat, namun hatinya berasa ‘sayang’ untuk meninggalkan kelas tersebut walaupun sehari cuma.
View this post on Instagram
“Ustaz kasihan melihat saya dan kata tak payah datang kalau letih. Namun, saya tetap datang kerana sayang nak tinggal kelas. Lagipun saya tengok orang yang belajar kemudian sudah nak mendahului saya. Rasa sayang nak tinggal kerana kalau sudah mengaji memang terasa seronok.”
Bandi turut memberi tips untuk lebih komited dalam mempelajari naskah Al-Quran seperti menanam niat dalam hati semoga naskah agung itu ada dalam hati dan sanubari. Menganggap pengajiannya itu sebagai bekalan dalam menghadapi hari akhirat kelak, dia turut menyeru masyarakat di luar sana untuk belajar mengaji tidak kira umur dan jantina.
“Selama tiga tahun belajar, dugaannya memang banyak. Walaupun boleh membaca Al-Quran, saya pilih bermula dengan Iqra kerana nak betulkan tajwid dan mahraj. Itu yang buat jadi lama tapi tak kisahlah asalkan saya belajar. Sekarang, jika membaca surah Yassin saya boleh tahu mana harakat, mahraj dan sebagainya. Saya jadi seronok membaca surah Yassin kerana tahu mana nak berhenti.”
Difahamkan, Bandi mula mengikuti pengajian Al-Quran tersebut sejak pertengahan tahun 2017 bersama seorang ustaz dan akhirnya khatam setelah tiga tahun menuntut ilmu.