Pelakon dan juga penyanyi yang baru sahaja bergelar ibu, Nur Fazura berkata dia berasa berat hati apabila terpaksa meninggalkan anaknya meskipun untuk sementara waktu.
Menurut pelakon cantik ini lagi, meskipun dia seorang wanita yang bekerjaya, jauh di sudut hati Fazura sangat merindui kehadiran Nur Fatima Aisya di sisi walaupun hanya berjauhan untuk beberapa jam sahaja.
Perasaan itu menurut Fazura, muncul apabila dia bergelar seorang ibu.
View this post on Instagram
“Saya selalu ditanya sama ada rindu untuk berada di set, jawapannya sentiasa ya, kerana orang yang kenal saya, mereka tahu betapa saya suka bekerja dan menjadi seorang pelakon adalah minat nombor satu saya. Tetapi sekarang saya bergelar ibu, rasa berat nak tinggalkan anak berjam-jam sehari.”
Dalam pada itu, isteri kepada pelakon Fattah Amin ini juga turut meminta nasihat serta pandangan daripada ibu-ibu di luar sana yang mempunyai pengalaman dan situasi yang sama seperti dirinya.
Meninjau ruangan komen, ramai ibu-ibu malah rakan artis seperti Liza Hanim tampil memberikan sedikit pendapat dan pandangan mengenai perasaan takut dan risau untuk berpisah dengan anak buat para wanita yang baru sahaja bergelar ibu.
Terdahulu, Fazura dan Fattah Amin telah mendirikan rumah tangga pada November 2017 yang lalu. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya pada 2 Oktober tahun lalu.