Nama Datuk Seri Aliff Syukri tidak pernah lekang dengan kontroversi, ada sahaja perkara yang dilakukannya pasti akan membangkitkan kemarahan ramai. Ramai menganggap ia mungkin salah satu strategi untuk membuatkan namanya terus popular dan secara tidak langsung melariskan lagi produknya.
Bagaimanapun, Aliff menerusi akaun Instagramnya baru-baru ini mengakui dia berasa tertekan sering menjadi mangsa kecaman netizen.
“Kenapa korang semua cari kesalahan saya. Rasa macam nak bunuh diri”
Mempersoalkan mengapa orang ramai tidak henti mencari kesalahannya sehingga dirinya timbul rasa “bunuh diri”. Kehidupannya lebih banyak melibatkan perkara yang sedih berbanding gembira.
“Jangan takbur. Jangan ingat kita ada segalanya, hidup kita bahagia”
Rata-rata netizen menasihatinya agar tidak membuat keputusan melulu sebaliknya kembali kepada Allah Yang Maha Esa. Harus muhasabah diri kerana setiap kontroversi yang menghimpit dirinya sebelum ini adalah kerana tindakan Aliff sendiri. Tidak perlu terlalu ingin meraih populariti.
“Drama apa lagi ni?”
Namun, ada juga yang menganggap kenyataan itu sekadar gimik terbarunya. Sengaja ingin berdrama, meraih publisiti.
Aliff ketika ini sedang berdepan krisis rumah tangga dengan isteri Datin Nur Shahida. Difahamkan, isterinya sudah memfailkan tuntutan cerai dan kes perbicaraan pasangan tersebut bakal disambung semula selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Malah, Aliff dikatakan terkejut apabila menerima berita isterinya memfailkan permohonan perceraian.