Dalam satu penemuan yang mengejutkan, rangka dan tengkorak manusia ditemui di tingkat atas sebuah rumah kayu dua tingkat di Jalan Sungai Nibong, Teluk Intan, Perak.
Menurut laporan, mayat tersebut dipercayai anak bongsu kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Wah Keng Jooi, yang berkhidmat dari 1959 hingga 1964.
Difahamkan, penemuan itu berlaku selepas abang mangsa yang berusia 78 tahun pergi ke rumah tersebut kira-kira jam 11 pagi Sabtu lalu untuk melawat adiknya itu sebelum terhidu bau busuk yang mencurigakan.
Dia bagaimanapun tidak dapat naik ke tingkat atas rumah berkenaan akibat struktur tangga kayu yang telah reput.
Tinggal seorang di rumah pusaka
Susulan itu, dia kemudian membuat laporan polis pada jam 2.24 petang hari yang sama, kata Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin.
Siasatan awal menemui tengkorak dan rangka manusia bersama anjing peliharaannya serta beberapa barangan peribadi milik mangsa di tingkat atas rumah terbabit.
Tambahnya lagi, mangsa berusia 75 tahun berkenaan tinggal bersendirian di rumah pusaka peninggalan keluarganya itu.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh bagi menjalani proses bedah siasat.
Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Pihak polis sedang menunggu panggilan daripada pakar forensik dari hospital.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.