Pihak polis kini sedang menyiasat penganjuran perlumbaan basikal lajak yang dijadualkan di Damansara Damai pada esok hari.
Memetik laporan New Straits Times, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya mengesan satu video yang mempromosikan perlumbaan berkenaan di aplikasi TikTok.

gambar hiasan
Siasatan mendapati video berdurasi 29 saat itu memaparkan aksi sekumpulan remaja menunggang basikal lajak di jalan raya berserta maklumat berkaitan penganjuran perlumbaan basikal lajak yang akan diadakan di Damansara Damai pada 24 Mei.
Beliau turut berikrar akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat, sambil menyifatkan perlumbaan haram itu sebagai ancaman kepada keselamatan awam.
Polis ingin mengingatkan semua pihak agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang kemalangan. Mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan tegas.
Amaran polis ini susulan insiden tragis pada tahun 2017, apabila lapan remaja di Johor Bahru maut selepas basikal yang diubah suai mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta pada awal pagi.
Difahamkan, satu laporan polis telah dibuat dan polis kini membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 81 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu mengadakan pertandingan membabitkan kenderaan tanpa kebenaran.
Shahrulnizam berkata, polis mengesan pihak penganjur perlumbaan terbabit untuk siasatan lanjut.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penganjuran itu supaya menyalurkannya kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.