Baru-baru ini tular tentang isu halal premis makanan Ah Cheng Laksa yang dikatakan tidak halal. Kecoh di media sosial apabila ada yang mendakwa makanan yang dijual mempunyai darah khinzir.
Kalau diikutkan, premis makanan Ah Cheng Laksa sememangnya sering dikunjungi oleh orang Melayu Islam kerana hidangan laksanya yang terkenal. Disebabkan itu, Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam tampil memberi penjelasan.

Untuk makluman, premis makanan Ah Cheng Laksa masih belum menjadi pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia.
Walau bagaimanapun, Central Kitchen bagi premis makanan berkenaan yang didaftar atas nama Ah Cheng Laksa Sdn Bhd di lokasi Taman Perindustrian USJ 1, Subang Jaya, Selangor telah dipersijilkan halal.
Pensijilan halal yang diperolehi oleh Central Kitchen tidak bermakna seluruh rangkaian outlet nya telah dipersijilkan halal kerana bagi permohonan premis makanan berangkai, terdapat syarat-syarat khusus pensijilan halal yang perlu dipenuhi.

Pengguna juga dinasihatkan agar lebih berwaspada sebelum menyebarkan sesuatu tular berkaitan isu halal yang tidak diketahui status kebenarannya.
Sebelum menyebarkan sesuatu berita, pengguna perlu menyemak terlebih dahulu dengan pihak berkuasa supaya tidak berlaku sebarang fitnah sesama kaum.
Untuk mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia, sila layari Portal Halal Malaysia di www.halal.gov.my. Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar Verify Halal.