Kalau anda perhatikan, hampir 90 peratus artis-artis di Malaysia bangga mempunyai pengikut yang ramai di media sosial. Malah, ada yang sanggup memuat naik foto mereka hampir setiap hari ataupun setiap jam bagi meraih perhatian ramai.
Namun, buat pelakon Ramona Zamzam beliau tidak begitu mementingkan jumlah pengikutnya di media sosial. Terus-terang beliau tidak pernah risau tentang soal berkenaan kerana apa yang penting orang ramai menghargai bakat lakonan beliau.
Saya selesa dengan apa yang saya lakukan sekarang. Saya bermula dari bawah dan menerima tawaran berlakon daripada watak kecil sehinggalah diberi watak utama. Saya tidak kisah pengikut yang tidak ramai kerana sasaran untuk orang lebih menghargai dan menilai bakat lakonan.
Andai ada yang tidak mengikuti saya di laman sosial, saya tidak ada masalah kerana selesa dengan keadaan itu.
Dalam pada itu, Ramona juga memberitahu beliau tidak merasa tergugat dengan kehadiran pelakon baru.
Terdapat dua jenis pelakon, satu yang hanya mementingkan populariti dan satu lagi berlakon kerana minat didalam bidang berkenaan. Mungkin jumlah pengikut itu menentukan populariti artis, tetapi bakat juga penting untuk terus kekal dalam industri hiburan kerana populariti itu bersifat sementara.