Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai isu pempengaruh makanan yang memberi ulasan terlalu jujur sehingga menyebabkan perniagaan sesetengah pihak mengalami kerugian.
Isu tersebut telah menimbulkan perdebatan dalam kalangan orang ramai yang mana rata-rata menyuarakan sokongan agar menjadi jujur ketika membuat ulasan.
Susulan itu, bekas pengacara Jalan Jalan Cari Makan (JJCM), Naz Rahman yang cakna dengan isu tempatan telah menyuarakan pendapatnya mengenai isu ini.
Menerusi satu hantaran di X, dia tidak pernah memberi markah atau bintang ketika menjadi hos di program televisyen tersebut atas faktor-faktor tertentu.
Naz atau nama sebenarnya Nazrudin Habibur Rahman berkata, ia merupakan satu tanggungjawab yang berat untuk digalas kerana ia memberikan impak yang besar kepada masyarakat.
Ada yang pernah tanya, kenapa JJCM tak pernah bagi markah atau bintang?
Inilah sebabnya. Rambut sama hitam, tapi lidah lain-lain. Berat tanggungjawabnya. Pengulas makanan boleh memberi (untung) atau menjatuhkan perniagaan.
Dalam pada itu, dia turut menitipkan pesanan buat pengulas makanan baharu supaya sentiasa beringat bahawa pengaruh yang besar datang dengan tanggungjawab yang besar.
Sebelum ini, tular satu video memaparkan seorang individu meluahkan rasa tidak puas hati apabila pengulas makanan yang terkenal memberi markah yang agak rendah hingga menjejaskan perniagaan.