Kilang pemprosesan ayam di Kawasan Perindustrian Masjid Tanah diarah untuk menghentikan operasi oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) mulai semalam hingga 4 Jun berikutan terdapat 175 pekerjanya disahkan positif Covid-19, lapor Harian Metro.
Datuk Rahmad Mariman selaku EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri berkata kebanyakan daripada kumpulan pekerja itu merupakan pekerja asing.
“Penelitian sedang dibuat mengenai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang bakal dijadikan tempat mereka dikuarantin”
Perbincangan telah dibuat antara kerajaan negeri dengan pihak pengurusan syarikat dengan kemungkinan akan memindahkan pekerja yang terlibat ke rumah pangsa milik Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) berhampiran kawasan perindustrian itu.
Hal ini demikian kerana asrama pekerja asing yang sudah sedia ada berhampiran kilang tidak sesuai dijadikan penginapan pekerja kerana terlalu ramai.
Sehubungan itu, pelaksanaan swab test terhadap baki pekerja kira-kira dalam 600 orang masih diteruskan untuk mengenal pasti pekerja yang dijangkiti.
Dilaporkan, Melaka merekodkan dua kluster baharu iaitu tempat kerja di kilang dan dalam kalangan keluarga. Keseluruhannya, 175 kes positif baharu direkodkan iaitu 65 kes di Alor Gajah, 75 kes di Melaka Tengah serta 35 kes di Jasin.