Beberapa wanita Malaysia didapati cuba menipu pegawai agama bagi membolehkan mereka berkahwin semula dengan pasangan baru dari Malaysia di selatan Thailand, lapor Harian Metro.
Menurut Majlis Agama Islam Narathiwat, terdapat beberapa kes membabitkan wanita Malaysia yang mengemukakan sijil cerai atau sijil kematian palsu dan kes sedemikian telah dikesan sejak beberapa tahun lalu.
Timbalan Presiden Majlis Agama Islam Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat mendedahkan kebanyakan individu yang terlibat merupakan wanita berasal dari Kelantan.
Kami telah merekodkan banyak kes di mana wanita Malaysia menyerahkan dokumen palsu yang mendakwa mereka telah bercerai atau menjadi balu untuk memudahkan perkahwinan semula di selatan Thailand.

Gambar hiasan
Dah kahwin di sempadan, suami sebenar muncul
Ada juga antara wanita yang dikatakan sanggup menguah nama mereka dan tarikh pada dokumen rasmi bagi mengelak proses semakan yang ditetapkan sebelum bernikah.
Terdapat kes di mana pegawai saya, yang tidak menyedari penipuan tersebut, membenarkan perkahwinan diteruskan.
Namun, pendaftaran perkahwinan itu kemudiannya dibatalkan selepas suami sebenar tampil memaklumkan bahawa dia masih hidup dan mereka sebenarnya belum bercerai.

Gambar hiasan
Dah cerai tapi belum dapat sijil
Bagaimanapun kata Abdul Aziz, kebanyakan wanita Malaysia yang cuba menipu itu sebenarnya memang sudah bercerai namun masih belum mendapat sijil cerai rasmi ata kehilangan dokumen.
Wanita-wanita ini mungkin terlalu teruja untuk berkahwin dengan pasangan baharu dan sanggup melakukan apa sahaja bagi mempercepatkan proses perkahwinan.
Tegasnya lagi, pihak mereka memandang serius perkara ini dan akan menghentikan serta merta proses sekiranya penipuan dapat dikesan.
Abdul Aziz juga turut memberi amaran bahawa tindakan tidak jujur seperti itu boleh menjejaskan status sah dan masa depan anak-anak yang lahir daripada perkahwinan sedemikian khususnya dalam urusan dokumentasi pengenalan, kewarganegaraan dan pewarisan.
Anak-anak ini boleh berdepan masalah semasa pendaftaran kelahiran, pendaftaran sekolah, atau dalam membuktikan status sah taraf mereka di kemudian hari.
Tambah Abdul Aziz, pihak majlis kini memperketat prosedur untuk perkahwinan rentas sempadan, terutama yang membabitkan warganegara asing.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.