Ramai Wanita Kecewa Berpanjangan Setelah Lama Mencuba Tapi Belum Hamil Lagi

Trending

Ramai Wanita Kecewa Berpanjangan Setelah Lama Mencuba Tapi Belum Hamil Lagi

Hari ini dan kebelakangan ni saya terima macam-macam pertanyaan daripada ramai wanita yang merasa kecewa berpanjangan kerana setelah beberapa lama mencuba, masih belum hamil lagi.

Bila tiba musim raya, ramai yang meluahkan luka hati dan menahan sebak di hati bila diteguri saudara-mara dan ditanya-tanya “Bila lagi nak menimang anak”

Advertisement

Saya teringatkan peristiwa ngeri yang sangat menakutkan saya pada tahun 1999, iaitu 18 tahun yang lalu.

Saya nak ceritakan kisah seorang wanita berumur 33 tahun yang setelah 10 tahun mencuba untuk menjadi hamil tetapi tidak berjaya.

Kerana hendak sangat mendapat cahaya mata, pasangan ini telah menjalani rawatan IVF sebanyak 3 kali.

Kali pertama dan kedua gugur. Mereka tersangat-sangat kecewa.

Kali ketiga berjaya, kerana diberikan hormon yang berdos tinggi untuk menampung kehamilannya pada tiga bulan pertama.

Tetapi rawatan kesuburan dan IVF ada kesan sampingannya.

Salah satu kesan sampingannya ialah ovarian hyperstimulation syndrome (OHSS), dimana hormon yang digunakan untuk merangsangkan ovari menyebabkan ovari menjadi besar dan terlalu bengkak.

Ovari ini juga mengeluarkan kelebihan hormon yang membolehkan air dari dalam saluran darah meresap keluar daripada darah.

Akibatnya darah menjadi lebih pekat daripada biasa dan lebih cenderung mendapat darah beku di bahagian kaki.

Ibu ini mendapat darah beku di kedua-dua belah kakinya (Deep venous thrombosis).

Untuk mengelak masalah darah beku ini bertambah teruk, ibu ini mendapat rawatan injektion heparin untuk mencairkan darahnya setiap hari.

Tetapi nasib ibu ini tidak baik kerana darah beku itu bertambah teruk dan berlanjut dari saluran darah di bahagian kedua-dua betis hingga ke saluran darah besar iliac di atas paha sampai ke paras pinggangnya.

Ibu ini terpaksa tinggal di dalam wad untuk rawatan heparin setiap hari. Pada satu hari, pada minggu 35 kehamilan, ibu ini tiba-tiba tidak boleh bernafas dan tidak sedar diri.

Kami semua bergergas mendengar loceng kecemasan dan memang kami semua sudah tahu yang bila ibu ini tidak boleh bernafas, ini bermakna terdapat ketulan darah beku yang sudah sampai ke dalam paru-paru nya (pulmonary embolism).

Ini menjadi satu kecemasan. Jantung ibu sudah berhenti berdenyut, ibu sudah berhenti bernafas. Ini ialah keadaan yang dinamakan ‘cardiac arrest’.

Kami tidak ada pilihan lagi, saya didalam pasukan pertama terus membuat CPR, menekan dadanya bertubi-tubi untuk memaksa jantungnya untuk terus mengepam dan mengalirkan darah.

Sambil pasukan kami kedua memasukkan tiub pernafasan ke dalam saluran pernafasannya untuk memaksa oxygen masuk ke dalam paru-parunya.

Pasukan kami yang ketiga dengan serentak membuat pembedahan Caesar di atas katilnya di dalam wad juga.

Tidak ada masa untuk memindahkan ibu ke OT (operating theatre).

Tidak ada masa untuk memberi ibu yang tak bernyawa ubat bius. Tidak ada masa untuk kami bertukar pakaian ke baju ‘scrub’.

Tidak ada masa untuk kami mencuci tangan. Pasukan ke-empat kami memberi bayi bantuan pernafasan.

Pasukan kelima membuat pembedahan dada ibu untuk mengeluarkan 4 ketulan darah yang besar dari dalam saluran darah paru-paru.

Bayi berjaya diselamatkan tetapi kami gagal menyelamatkan nyawa ibu. Suaminya berlinangan air mata bila menyambut bayinya.

Saya tidak boleh bayangkan perasaan suami yang kehilangan isterinya yang tersayang, kerana terlalu sangat hendak mendapatkan cahaya mata.

Sekarang dikurniakan cahaya mata, tetapi alangkah sedihnya bagi suami ini kerana pada setiap tahun menyambut hari jadi anaknya terkenangkan peristiwa yang meragut nyawa isterinya.

Sejak hari itu, bila saja saya bertemu dengan wanita yang bersedih di klinik infertiliti untuk rawatan kesuburan, saya selalu menasihatkan mereka supaya bersabar dan bersyukur walaupun belum lagi hamil.

Ramai yang tidak faham mengapa mereka patut bersyukur. Ada angin, ada pohonnya.

Tetapi saya pula tidak faham mengapa masyarakat kita selalu sangat melukakan hati dan perasaan pasangan yang belum lagi mendapat anak.

Bercakap memandang-mandang, silap lidah jiwa hilang.

Bila bertemu pasangan yang belum lagi ada anak, pantang bertanya ‘bila lagi nak menimang anak’. Kalau tak boleh juga buka topik yang lain, sila diam.

Di antara wanita yang menerima rawatan kesuburan ART (Assisted reproductive technology), 33% akan mendapat masalah OHSS yang sementara dan ringan, 3-8% mendapat OHSS yang sederhana atau teruk.

Risiko ini lebih tinggi lagi bagi wanita yang juga mempunyai PCOS.

Bagi wanita yang mempunyai PCOS yang juga berat badannya berlebihan, lebih baik berusaha dahulu menurunkan berat badan dan bersenam dengan kerap.

Ini untuk meningkatkan kesuburan, daripada terus mendapatkan rawatan kesuburan tanpa berusaha menjaga kesihatan badan dahulu.

Sumber : Imelda Balchin

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...