Sebut sahaja Maluri, pasti ramai membayangkan kepesatan kawasan yang menjadi penghubung antara Cheras dan pusat bandar Kuala Lumpur. Namun, tidak ramai mengetahui bahawa nama tersebut sebenarnya membawa maksud tersendiri.
Dalam satu temu bual eksklusif bersama podcast Keluar Sekejap, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, isteri kepada Tun Daim, mendedahkan asal-usul nama Maluri dan maksud di sebalik akronim tersebut.

Menurut beliau, selepas Tun Daim mengalami kerugian dalam perniagaan garam, beliau mula menceburi beberapa perniagaan baharu termasuk perniagaan makanan, sehingga menubuhkan sebuah kilang makanan.
“Maluri asalnya merupakan perniagaan makanan beliau (Tun Daim). Maluri adalah (akronim) — ‘Makanan Luar Negeri’,” kata Toh Puan Na’imah.
Pada awal 1970-an, Tun Daim kemudiannya menubuhkan Syarikat Maluri Sdn Bhd untuk menceburi bidang pembangunan tanah. Melalui syarikat itu, beliau membangunkan projek perumahan seperti Taman Maluri dan Taman Bukit Maluri di Kuala Lumpur.
Menjelang era 1980-an dan 1990-an, kawasan Maluri terus berubah pesat. Pembangunan pusat beli-belah AEON Maluri (ketika itu dikenali sebagai Jaya Jusco) menjadikan kawasan tersebut antara mercu tanda komersial terawal di bahagian timur Kuala Lumpur sekaligus mengukuhkan kedudukan Maluri sebagai kawasan yang strategik dan terus membangun hingga kini.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
