Sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan Selasa lalu, bilangan kenderaan di jalan raya juga berkurang kerana kebanyakkan pekerja digalakkan untuk bekerja dari rumah.
Namun begitu, menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, beliau meluahkan rasa tidak puas hati terhadap bilangan kenderaan yang disifatkan masih terlalu banyak sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dilaksanakan pada Selasa lalu.
Beliau berkata demikian berdasarkan tinjauan yang dilakukan dalam tempoh empat hari termasuk hari ini.
“Hari pertama PKP penuh saya buat pantauan sekatan jalan raya (SJR), saya tengok ada penurunan kenderaan. Hari kedua, saya buat lawatan mengejut di kilang-kilang, saya tengok ramai menyalahgunakan (kebenaran pergerakan), jadi kita bagi amaran”.
“Hari ketiga, kita tengok balik SJR, sampai 86,000 pemantauan kita buat di seluruh negara. Kita tidak puas hati dengan jumlah pergerakan di jalan raya, jadi kita buat keputusan dipertingkatkan lagi bilangan SJR, begitu juga pemantauan di seluruh negara”.
Tambahnya, SJR akan ditambah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang. Setakat ini, terdapat 887 SJR di seluruh negara.