Pada Mei tahun lepas, aktres terkenal China, Fan Bingbing, dilantik sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024.
Baru-baru ini, Fan secara rasmi dianugerahkan gelaran Datuk pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negara Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-76 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.
Penganugerahan ini diberikan sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan Fan dalam pertumbuhan ekonomi-pelancongan serta usahanya mempromosikan Melaka di peringkat antarabangsa.
Memetik kenyataan Fan daripada Harian Metro, beliau dijangka bakal kembali ke Melaka dalam masa terdekat untuk projek baharu, dan kehadirannya dijangka memeriahkan Sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) serta Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025.
Walaupun ramai peminat menyambut baik penganugerahan ini, segelintir tertanya-tanya apakah sebab Fan layak menerima gelaran Datuk. Berikut adalah empat sebab utama:
- Populariti Antarabangsa: Nama Fan Bingbing amat terkenal dalam industri hiburan China dan global. Selain berlakon, beliau juga digelar sebagai ikon fesyen, sering muncul dalam kempen antarabangsa dan dijemput menghiasi red carpet majlis berprestij.
- Perlantikan Sebagai Duta Pelancongan: Fan dilantik sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka, menjadikan ramai pelancong China memilih Melaka sebagai destinasi pelancongan mereka.
- Kesan Promosi Digital: Aktiviti promosi Fan di platform WeChat berjaya menarik perhatian lebih 1.5 bilion tontonan, satu pencapaian terbesar dalam sejarah pemasaran digital pelancongan Malaysia.
- Peningkatan Jumlah Pelancong China: Berkat keberkesanan promosi Fan, bilangan pelancong China ke Melaka meningkat mendadak, daripada 204,818 pada 2023 kepada 664,687 pada 2024, menunjukkan kesan positif terhadap sektor pelancongan tempatan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.