Kuburnya hari ini digali semula selepas dikebumikan pada 17 Julai lalu, dan jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir dikatakan masih utuh dan dalam keadaan baik.
Itu yang dikongsikan Imam Rawatib Masjid Haji Hashim Pekan Sipitang, Amani Azra yang berada di lokasi menyaksikan proses penggalian semula kubur itu untuk mengeluarkan jasad arwah.
Ramai saksi keadaan jenazah
Difahamkan, ramai yang menyaksikan keadaan jasad pelajar Tingkatan Satu itu seperti yang dikatakan ibu arwah, Noraidah Lamat sebelum ini.
Bukan saya seorang saja yang menyaksikannya, ramai lagi… ada polis, pegawai dari JHEAINS Sipitang, imam-imam dan ada daripada JAKIM juga.
Dalam pada itu, peguam keluarga arwah, Hamid Ismail, berkata selain ibu bapa, proses tersebut turut disaksikan oleh Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali.

Terdahulu, penduduk kampung membanjiri kawasan tanah perkuburan dan perkarangan hospital sebagai tanda solidariti dan turut melaungkan ‘Allahuakbar’ mengiringi trak polis membawa jenazah.