Orang ramai dilihat beratur panjang di luar kedai untuk mendapatkan ‘bubble tea’ sehingga lewat malam tadi. Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Singapura (MTI) telah mengumumkan segala operasi melibatkan kedai dan cawangan yang jual makanan ringan dan pencuci mulut seperti ‘bubble tea’, jus buah, dan ‘smoothies’ akan mula ditutup bermula hari ini.
Arahan penutupan operasi ini akan tamat sehingga 4 Mei ini apabila Singapura membuat keputusan untuk melanjutkan tempoh ‘Circuit Breaker’ mereka. Segala kedai dan cawangan pencuci mulut dan minuman tidak dibenarkan beroperasi dan MTI memberitahu ianya boleh berlanjutan sehingga 1 Jun 2020.
Notis penutupan operasi itu telah menyebabkan rakyat Singapura berpusu-pusu beratur untuk mendapatkannya buat kali terakhir sebelum ditutup. Menurut media tempatan, barisan panjang dapat dilihat di cawangan LiHo, My Village di Serangoon Garden dan cawangan Gong Cha di Toa Payoh.
Perkara ini telah mendapatkan perhatian ramai di media sosial bukan sahaja di Singapura malah serantau Asia. Ditambah pula dengan keadaan penularan wabak COVID-19 di Singapura yang semakin membimbangkan, menambahkan lagi kegusaran ramai.
Seorang penghantar makanan memberitahu dia terpaksa menunggu selama 25 minit untuk menunggu pesanan minumannya siap. Kebiasaanya ianya hanya mengambil masa 5 minit sahaja untuk hari biasa. Dia juga turut meluahkan kebimbangannya kerana 50 peratus daripada pesanan yang diterima biasanya adalah dari cawangan minuman seperti ‘bubble tea’.
Ini bukanlah kali pertama rakyat Singapura menyerbu premis perniagaan sebelum ianya diarahkan tutup kerana COVID-19. Sebelum ini, orang ramai dilihat beratur panjang di luar bangunan IKEA sebelum Singapura mengumumkan perintah separa ‘lockdown’ pada awal bulan lalu.
Artikel berkaitan: Rakyat Singapura Panik Sanggup Beratur Panjang Di Ikea Sebelum Arahan ‘Lockdown’ Berkuatkuasa