Susulan tindakan pempengaruh dan usahawan terkenal iaitu Kieda Crepe yang menjadikan isu kesihatan sebagai satu content media sosial mendapat kecaman daripada orang ramai termasuklah seorang individu yang berkhidmat dalam bidang penjagaan kesihatan.
Dalam satu hantaran di Threads, Shashawany Zulkefli meluahkan pandangannya bahawa ada individu sanggup mengorbankan maruah sendiri semata-mata untuk meraih perhatian orang ramai.
Lebih membimbangkan, tindakan itu dilakukan tanpa memikirkan soal sensitiviti, kesan jangka panjang terhadap diri sendiri, dan imej profesional bidang perubatan.
Awak tahu apa yang gila? Ada orang sanggup buat apa saja demi content, walaupun memalukan diri sendiri secara terbuka di Internet.
Herpes bukan bahan jenaka
Tambah individu yang berpengalaman dalam bidang penjagaan kesihatan hampir lapan tahun itu, tindakan Kieda itu dilihat sangat tidak wajar memandangkan virus herpes itu bukanlah satu isu yang remeh sebaliknya penyakit itu memberi kesan yang sangat besar terhadap hidup seseorang.
Herpes adalah jangkitan seksual. Bila seseorang umumkan dia disahkan ada herpes sambil rakam sesi perubatan dan upload ke media sosial, itu bukan kesedaran kesihatan. Itu cuma memalukan diri sendiri.
Diagnosis itu sangat serius, bukan sesuatu yang boleh dibuat main. Saya bekerja dalam bidang kesihatan hampir 8 tahun. Apa yang berlaku ni, tak boleh diterima sama sekali.
Dalam pada itu, wanita itu turut menegur tindakan Kieda yang merakan sesi konsultasi perubatan yang dianggap telah melanggar etika dan undang-undang berkaitan kerahsiaan perubatan, walaupun dengan keizinan doktor.
Bilik rawatan bukan studio TikTok. Doktor bukan rakan kolaborasi konten anda. Sesi perubatan adalah rahsia, dilindungi undang-undang.
Walaupun doktor benarnya, SOP hospital tak benarkan. MMC (Majlis Perubatan Malaysia) tak benarkan. PHFSA tak benarkan. PDPA pun tak benarkan. Ini bukan bahan lawak, ini penjagaan kesihatan sebenar.
Wanita itu turut menasihati orang ramai agar lebih menghormati diri sendiri serta para profesional kesihatan yang bertugas.
Herpes bukan konten. Beberapa perkara dalam hidup ini tak sepatutnya dikongsikan kepada umum. Kalau awak tak jaga maruah sendiri, jangan pelik kalau orang lain pun hilang rasa hormat.
Ingat, maruah bila dah hilang tak ada filter yang boleh betulkan.
Sebelum ini, menerusi satu video yang dimuat naik di TikTok, Kieda telah mendedahkan dirinya telah dijangkiti virus herpes simplex selepas bibirnya dipenuhi dengan bintik kecil.