Penyanyi tersohor tanah air, Datuk Nora Ariffin, tampil mempersoalkan tindakan penyanyi Indonesia, Datuk Seri Rossa, yang merakam semula lagu ikonik Sinaran dalam EP terbaharunya berjudul Asmara Dansa tanpa sebarang rundingan rasmi dengan pewaris asal karya berkenaan.
Menurut Nora, 51, lagu ciptaan Allahyarham Johan Nawawi bersama Allahyarham Adnan Abu Hassan itu sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu dengan waris komposer asal sebelum digunakan semula dalam apa-apa bentuk rakaman baharu.
Menarik, tapi sebagai pewaris saya cuma ingin tahu, siapa sebenarnya beri keizinan untuk lagu ini?
Saya sudah menghubungi Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP). Mereka kata bayaran dibuat kepada pihak penerbit, tetapi sehingga kini perkara itu masih tergantung tanpa penjelasan lanjut.
Tambah pelantun lagu Samudera itu, isu keizinan dan pembayaran royalti bukan sekadar soal hak cipta, tetapi melibatkan kebajikan dan masa depan waris karyawan seni yang telah meninggal dunia.
Ramai tidak tahu, kebanyakan komposer dan penulis lirik tidak mempunyai pencen, tiada KWSP, tiada simpanan tetap.
Royalti itulah pencen mereka. Bila seseorang karyawan pergi, pewaris berhak mendapat bahagian itu untuk menyara anak-anak yang ditinggalkan.
Itu bukan sekadar wang, tetapi harta peninggalan anak-anak yatim. Jangan ambil mudah dan jangan lepas tangan.
Terdahulu, video teaser EP Asmara Dansa yang dimuat naik oleh Rossa di media sosial memperlihatkan versi baharu lagu Sinaran menampilkan kolaborasi bersama penyanyi rap tempatan MK K-Clique.
Lagu Sinaran sebelum ini pernah dipopularkan oleh Datuk Sheila Majid pada era 1980-an dan dianggap antara karya paling berpengaruh hasil gandingan dua nama besar dalam industri muzik tanah air, Johan Nawawi dan Adnan Abu Hassan.
Sekitar Julai lalu, Nora turut mendedahkan bahawa royalti lagu berkenaan masih belum diterima sepenuhnya oleh pewaris, malah mendakwa jumlah yang pernah dibayar hanyalah sekitar RM60.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.