Selepas berjaya membawa pulang pingat emas di Sukan Paralimpik Paris 2024, atlet negara telah menerima kejutan apabila mereka dihadiahkan tajaan pakej umrah dan bercuti ke Korea Selatan bersama Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) bernilai hampir RM100,000.
Kata Ketua Pegawai Pemasaran ikhlas.com iaitu Fara Hasan, mereka amat berbesar hati dapat meraikan kejayaan atlet paralimpik yang banyak berkorban masa serta tenaga demi membawa pulang pingat emas demi negara.
Kami dengan ini mengumumkan tajaan pakej ikhlas.com Umrah untuk atlet dan jurulatih paralimpik yang beragama Islam sementara yang bukan Islam pula akan menerima tajaan pakej kembara ke Korea Selatan bersama ikhlas.com Travel.
Sekadar info, untuk Sukan Paralimpik Paris untuk tahun ini, terdapat dua atlet membawa pulang pingat emas, dua perak dan satu gangsa.
Pada 13 Ogos lalu, ikhlas.com telah menunaikan hasrat pemain basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk membawa ibu bapanya menunaikan umrah biarpun gagal meraih pingat dalam acara keirin di Sukan Olimpik Paris 2024.