Disyaki terlibat dalam penjualan produk minyak wangi berjenama terkenal, seorang selebriti media sosial ditahan pihak berkuasa.
Wanita tersebut difahamkan ditahan dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Taman Pinggiran Putra, Serdang, Selangor.
Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor, Muhammad Zikril Azan Abdullah, pihaknya telah merampas lebih 1,000 botol minyak wangi yang dianggarkan bernilai RM150,000.
“Siasatan awal mendapati sebotol minyak wangi dijual dengan harga serendah RM150 hingga RM200 dan suspek mampu meraih keuntungan sehingga ribuan ringgit setiap bulan. Mangsa (pembeli) juga turut diberitahu produk tersebut adalah tulen,”
Dedahnya lagi, perniagaan itu dikatakan telah beroperasi kira-kira setahun lalu dari rumah berkenaan dengan memasarkan barangan berkenaan melalui platform media sosial seperti Instagram dan Facebook.
[Video] Instafamous ditahan jual pewangi pelbagai jenama tiruanhttps://t.co/2YkQIGeflW pic.twitter.com/RwuiMcsMYu
— BERNAMA (@bernamadotcom) October 20, 2020
Malah slip penghantaran barangan, kotak pembungkusan dan rekod transaksi perbankan juga turut ditemui penguatkuasa.
Lebih mengejutkan, semakan transaksi juga mendapati barangan terbabit turut dibeli oleh pelanggan dari luar negara.
Bagaimanapun, suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.
Kes disiasat mengikut Sekyen 102 (1)(b) Akta Cap Dagangan 2019 kerana menjual atau menawarkan barangan disyaki menggunakan perihal dagangan palsu.
Sumber: Bernama