Mengakui sudah bertunang dengan jejaka bernama Faris K Anuar pada 2 September lalu dalam sebuah majlis tertutup, peminat pelakon Elfira Loy agak kecewa mengapa berita gembira itu tidak dihebahkan. Tidak berniat untuk berahsia, beliau hanya menghormati permintaan kelurga kedua-dua belah pihak.
Berbicara mengenai tunangnya pula, Elfira yang hanya mengenali Faris beberapa bulan sahaja sebelum mengikat tali pertunangan terpikat dengan sifat hormat lelaki itu kepada keluarganya selain mempunyai pemikiran yang matang.
Apa yang penting, ibu pelakon wanita itu juga percaya Faris adalah lelaki yang mampu menjaga dan membimbingnya dengan baik.
Faris hormat dan faham bagaimana keluarga saya. Malah, dia ada visi masa depan. Apa yang lebih penting, emak saya percaya dia boleh menjaga saya. Semuanya berlaku dalam tempoh pantas dan mudah.
Saya bersyukur dengan apa yang terjadi dan hargai setiap detik. Tidak lupa, saya berdoa ikatan kali ini adalah yang terbaik buat saya dan berkekalan hingga jenjang pelamin. Keluarga saya berpegang kepada adat. Jadi, kami membuat keputusan untuk bertunang dan mendirikan rumah tangga. Semoga semua perancangan dipermudahkan.
Sudah pun menghadiri kursus kahwin, Elfira bagaimanapun belum bersedia untuk mendedahkan tarikh sebenar majlis pernikahannya dan hanya menjelaskan mereka bakal bergelar suami isteri pada tahun depan.