Seorang ahli perniagaan, Datuk Haris Embong, menuntut selebriti serta aktivis masyarakat, Rafidah Ibrahim, melunaskan bayaran ganti rugi berjumlah RM281,200 susulan kes fitnah.
Menurut laporan Utusan Malaysia, Rafidah berdepan tindakan lanjut sekiranya gagal membayar jumlah tersebut kepada Haris dan syarikatnya, Arisprop Holdings, seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 31 Julai lalu.
Tuntutan rasmi itu dibuat menerusi notis yang dihantar peguam plaintif, Tetuan Izral Partnership pada 19 September, selepas notis pertama bertarikh 20 Ogos 2024 tidak mendapat maklum balas.
Kes ini berpunca daripada dua hantaran media sosial Rafidah pada September dan Oktober 2021 yang didapati berunsur fitnah sehingga mencemar maruah plaintif serta syarikatnya. Mahkamah mengarahkan beliau membayar RM100,000 kepada Haris, RM150,000 kepada Arisprop Holdings, kos guaman RM30,000 serta fi pengagih RM1,200, di samping faedah lima peratus setahun sehingga bayaran penuh diselesaikan.
Haris yang juga Pengarah Urusan Arisprop Holdings berkata, pihaknya sudah memberi ruang masa mencukupi namun pembayaran masih gagal dibuat.
“Tindakan tegas akan diambil jika bayaran tidak dijelaskan. Tuntutan ini adalah usaha membersihkan imej kami daripada tuduhan fitnah serta menuntut hak berdasarkan keputusan mahkamah,” jelasnya.