Penyampai radio Era FM, Radin Amir Affendy Ahmad Aruani tampil memberikan reaksi selepas dikritik kerana dianggap terlalu santai ketika mengendalikan majlis pernikahan Fattah Amin dan Amira Othman.
Radin, 35, menjelaskan bahawa gaya pengacaraan tersebut sebenarnya mengikut permintaan pasangan pengantin yang mahukan suasana lebih santai dan tidak terlalu formal pada hari bahagia mereka.
View this post on Instagram
Katanya kepada Kosmo!,
Berhubung teguran di media sosial tentang cara saya mengacarakan majlis, saya terima dengan hati terbuka dan anggap ia sebagai pembelajaran untuk penambahbaikan pada masa akan datang. Secara jujurnya, saya hanya menjalankan tugas seperti yang diminta oleh pihak pengantin.
Dalam masa sama, Radin turut menghargai semua komen yang diberikan, sambil menyifatkan setiap nasihat sebagai tanda keprihatinan terhadap kerjayanya. Ujarnya,
Apa saja nasihat, saya anggap sebagai teguran yang membina. Ia satu bentuk kasih sayang dan tanda ambil berat. Semoga kita semua jadi lebih baik dengan segala teguran yang beradab.
Radin juga tidak lupa menzahirkan ucapan tahniah kepada Fattah dan Amira yang kini sah bergelar suami isteri serta berterima kasih kerana mempercayainya untuk mengacarakan majlis penting tersebut.
Untuk rekod, pasangan itu selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz sekitar jam 9.08 malam, disempurnakan oleh Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.