Selepas tiga hari kelahiran puteri sulung, pasangan Diraja Brunei, Abdul Mateen dan isteri, Anisha Rosnah Adam, akhirnya berkongsi potret keluarga mereka kepada umum.
Menerusi muat naik di Instagram pada malam tadi, Putera Mateen berkongsi imej anakanda perempuan, Pengiran Anak Zahra Mariam Bolkiah yang mesra dipanggil ‘Princess Zahra’, dalam dakapan baginda. Hantaran tersebut pantas meraih perhatian ramai apabila mencatat lebih 500,000 tanda suka dalam tempoh singkat.
Dalam kapsyen yang disertakan, baginda turut merakamkan penghargaan kepada pasukan perubatan di Jerudong Park Medical Centre (JPMC) atas khidmat dan sokongan diberikan sepanjang proses kelahiran.
“Beta dan Anisha sangat bersyukur dengan kredibiliti pasukan di JPMC yang luar biasa atas penjagaan serta sokongan, selain menghargai segala ucapan diberikan (sempena kelahiran Puteri Zahra),” titah baginda.
Khabar gembira itu sebelum ini dilaporkan pada Ahad lalu apabila Anisha Rosnah selamat melahirkan bayi perempuan pada jam 8.50 pagi.
Putera Mateen merupakan anak ke-10 dan putera keempat kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, hasil perkahwinan bersama bekas isteri baginda, Mariam Abdul Aziz.
Sementara itu, Anisha Rosnah menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bahawa Sultan Hassanal Bolkiah berkenan mengurniakan nama kepada cucunda baginda. Perkara tersebut turut dilaporkan oleh Radio Televisyen Brunei (RTB News).
Dalam kenyataan sama, Kerabat Diraja Brunei turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu sepanjang kelahiran serta kepada mereka yang menyampaikan ucapan tahniah dan doa kesejahteraan buat ibu dan puteri yang baharu dilahirkan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
