Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menyasar untuk membuka pusat borongnya di ibu negara sebelum akhir tahun ini.
Presidennya Datuk Syed Ali Alattas berkata pusat borong itu terletak di Fraser Business Park, Pudu dengan keluasan kira-kira 37,161 meter persegi yang akan menawarkan 400 ruang niaga.
“Kami jangka sekurang-kurangnya 160 kedai akan beroperasi buat permulaan,” katanya kepada pemberita pada Seminar Ekonomi Melayu 2016 di sini, hari ini.
Beliau berkata, setakat ini, Yayasan Pembangunan Usahawan, organisasi di bawah DPMM yang menguruskan pusat borong berkenaan menerima 280 permohonan penyewaan ruang niaga tersebut.
Pemohon yang disenarai pendek akan diumum pada September, katanya.
Syed Ali berkata pusat borong tersebut akan menempatkan pelbagai barangan antaranya pakaian, produk teknologi maklumat serta perhiasan rumah.
“Kita juga akan menempatkan sebuah pusat halal di dalam pusat borong itu yang mempamerkan produk halal daripada 100 peniaga barangan halal,” katanya.
Pusat borong empat tingkat yang dinamakan D’Mall itu turut mempunyai aras bawah bagi kemudahan parkir 700 kenderaan pada satu-satu masa.
Terdahulu, seminar ekonomi anjuran DPMM itu adalah untuk membincangkan beberapa isu antaranya kekurangan perumahan kos sederhana mampu milik di bandar besar dan pembangunan tanah rizab Melayu di Lembah Klang.