Pemalsuan laporan dan penipuan pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Tengku Zainudin atau Ija telah membuatkan ramai marah.
Bukan hanya masyarakat tetapi pihak berkuasa juga turut meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan Ija dan adiknya yang bersubahat mereka cerita tentang kehilangannya.
Susulan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah membuat laporan polis terhadap laporan palsu yang dibuat pempengaruh berusia 38 tahun itu.
Menurut Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, Johor pukul 11.30 pagi, Ahad lalu.
Katanya, tindakan itu dilakukan agar hukuman setimpal dikenakan terhadap pelaku yang memperkotak-katikkan imej anggota penyelamat.
Kita kesal atas tindakan pelaku yang sangat tidak bertanggungjawab. Perbuatan tersebut sangat dicela. Tindakannya itu mendatangkan kerugian besar selain merisikokan nyawa penyelam.
Tambahnya, sekurang-kurangnya seramai 30 pegawai dan anggota bomba dari Muar, Labis dan Pagoh telah dikerah ke lokasi kejadian untuk operasi SAR yang berlangsung selama empat hari.
Paling kita marah adalah imej anggota penyelamat diperkotak-katikkan sedangkan kita ambil serius dengan isu melibatkan nyawa.
Terdahulu, misteri kehilangan Ija terungkai apabila adiknya membuat laporan palsu mengatakan abangnya hilang ketika dalam perjalanan dari Johor Bahru untuk membaiki kereta ke Muar.
Namun, hasil siasatan mendapati terdapat keraguan terhadap laporan yang dikemukakan dan polis percaya bahawa kejadian itu adalah direka untuk kepentingan peribadi.
Adiknya turut mengakui dia turut bersubahat dan berpura-pura menjalankan usaha mencari mangsa bagi mengaburi siasatan pihak polis.