Hujung minggu yang lalu, kisah pemergian enam sekeluarga dalam nahas di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan menjadi topik hangat di media sosial.
Ramai bersimpati dan turut sama bersedih apabila memikirkan keadaan anak sulung pasangan suami isteri itu, Abdur Rahman, 19 tahun.
Rakaman memaparkan suasana hiba ketika enam jenazah itu disolatkan dan dikebumikan turut mengundang sebak ramai warganet.
Sementara itu, hal tersebut turut meraih perhatian pendakwah PU Rahmat yang kini sedang cuba mendapatkan maklumat tentang Abdur Rahman.
Menerusi Facebook, Rahmat meminta orang ramai membantu menyalurkan informasi agar dia dapat berhubung dengan remaja itu kerana berniat untuk membawanya ke Mekah menunaikan umrah secara percuma.
Siapa ada contact adik ni. Saya nak sponsor pergi ke umrah.
Difahamkan, Rahmat sudah dapat berhubung dengan keluarga Abdur Rahman menerusi pihak agensi pelancongan dan urusan mereka kini sedang dibincangkan.
Dalam pada itu, ramai warganet mendoakan agar niat baik dan urusan Rahmat dipermudah selain turut memanjatkan rasa syukur.
Kemalangan yang berlaku pada Jumaat lalu turut menyebabkan seorang lagi adik Abdur Rahman iaitu Abdullah, 15 tahun cedera parah.
Abdullah yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat dilaporkan stabil dan kini menggunakan alat bantuan pernafasan.