Biarpun sudah bermacam-macam cara teguran telah diberikan kepada usahawan kosmetik kontroversi, Safiey Illias, namun segalanya bagai berlalu pergi sahaja kerana pendakwah bebas PU Amin mendakwa usahawan tersebut sehingga kini masih lagi tidak mengendahkannya.
Menerusi sebuah posting yang dimuat naik PU Amin di laman Instagram miliknya, beliau dilihat amat kecewa kerana segala yang dilakukannya untuk melihat usahawan tersebut balik ke pangkal jalan tidak berhasil dan hanya bersifat sementara semata-mata.
“Dia kembali secara terang terangan untuk beraksi dalam dunianya kembali. Dulu saya buat video teguran, nasihat, minta boikot produk nya, alhamdulillah bila diboikot dia kembali kepada fitrah. Namun setelah mendapat sokongan dia kembali kepada naluri songsang nya. Jika ditegur dia akan kata dia tertekan dan kemurungan.”
Bagaimanapun, PU Amin juga dilihat mempersoalkan keberkesanan produk keluaran usahawan tersebut kerana hasil yang dipamerkan oleh Safiey adalah palsu.
“Hakikatnya dia kembali menonjolkan diri untuk membantu produknya terus laris. Yang kita pelik kenapa ada yang membeli produknya, produk untuk kulit cantik, tapi kulitnya juga bukan asli wanita.”
Rentetan itu, PU Amin secara tegasnya meminta wanita dan pembeli produk usahawan tersebut supaya tidak tertipu dan terpedaya, malah tidak kertinggalan menyeru orang ramai untuk memboikot segala produk yang diusahakan Safiey supaya sedar akan segala perbuatannya itu adalah salah.
“Maka saya seru dan mohon semua rakyat malaysia, insan yang berakal dan berakhlak mulia akan terus dan kembali boikot segala jualan produknya. Maklum kan pada semua orang bahawa produknya perlu diboikot segera, agar dia sedar dan berubah.”