Psikologi Kanak-Kanak Turut Terkesan Sepanjang PKP

COVID-19

Psikologi Kanak-Kanak Turut Terkesan Sepanjang PKP

Semua kanak-kanak memang suka bermain, sama ada dengan rakan-rakan atau bersendirian. Mereka suka menghabiskan hampir setiap waktu mereka untuk bermain dengan apa jua yang mereka lihat. Hal ini kerana mereka masih dalam proses mengenal dan meneroka sesuatu yang baru.

Namun, disebabkan krisis COVID-19 yang melanda negara kita ketika ini, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilaksanakan bagi membendung penularan wabak tersebut daripada terus berlaku.

Advertisement

Segala aktiviti harian mereka telah berubah berpunca daripada pergerakan yang menjadi sangat terhad.

Gambar hiasan

Mungkin kita tidak pernah terfikir nasib kanak-kanak ketika ini, tetapi sedarkah kita bahawa mereka sepatutnya bebas bermain sambil meneroka perkara baru ketika ini. Tetapi, oleh kerana pelaksanaan PKP mereka terpaksa berkurung di dalam rumah sahaja.

Bolehkah keadaan ini memberi kesan terhadap emosi dan psikologi kanak-kanak?

Menurut Pakar Psikologi di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Profesor Datin Dr Mariani Md Nor, sikap kanak-kanak berbeza mengikut peringkat umur.

Bagi kanak-kanak yang berumur antara tiga hingga lima tahun tidak kira sama ada yang memang hanya tinggal di rumah atau di hantar ke taska, mereka mungkin tidak terlalu terasa perbezaan rutin harian mereka. Malah mereka yang sebelum ini di hantar ke taska atau pusat jagaan harian, mungkin lebih seronok kerana dapat berada di rumah.

Tetapi berbeza pula dengan kanak kanak yang berada di peringkat pra-sekolah dan sekolah rendah di mana mereka lebih biasa dan seronok bermain bersama kawan-kawan di sekolah. Oleh sebab itu, kanak-kanak seusia ini lebih cepat berasa bosan dan gelisah akibat terlalu lama ‘terperuk’ di dalam rumah.

Perkara ini boleh menyebabkan emosi mereka terjejas sehingga boleh menyebabkan jiwa mereka memberontak jika tidak difahami dengan baik oleh ibu bapa.

Gambar Hiasan

Menurut Mariani yang juga Timbalan Presiden Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Majlis ECCE) lagi, adalah penting untuk ibu bapa merancang dan mengisi masa anak-anak dengan pelbagai aktiviti sepanjang tempoh PKP.

Masa anak-anak akan menjadi lebih bermanfaat dan dapat mengelakkan mereka bosan sekiranya ibu bapa menyediakan jadual di rumah iaitu peruntukan masa untuk bermain, belajar dan melakukan aktiviti sampingan.

Bagaimana?

Gambar Hiasan

Fahami minat 

Dalam dunia teknologi hari ini ibu bapa perlu menjadi lebih kreatif dalam memastikan anak-anak mereka seronok dan teruja untuk melakukan aktiviti yang dirancang.

Ibu bapa juga boleh fokus kepada perkara yang menjadi minat anak-anak mereka dan dalam masa sama selitkan juga aktiviti sampingan lain atau ilmu dalam subjek yang mereka kurang minat bagi menambah pengetahuan.

Sediakan ruang khas untuk anak-anak melakukan aktiviti di rumah seperti melukis, mewarna, membuat kerja seni, aktiviti berkhemah secara indoor dan bermain permainan tradisional seperti congkak dan batu seremban serta board games. Perkara ini boleh menambah keterujaan anak-anak.

Selain kerja sekolah yang dibekalkan dan proses pembelajaran dalam talian (e-learning) yang dijalankan oleh sesetengah guru di sekolah, ibu bapa juga boleh mengikuti saranan serta panduan daripada laman web berkaitan bagi memenuhi aktiviti ‘cuti sekolah’ anak-anak dengan perkara yang lebih bermanfaat.

Anak-anak juga boleh dididik untuk membantu ibu bapa membuat kerja rumah seperti mencuba resipi baharu, mengatur pinggan mangkuk, menghias rumah, menyiram pokok bunga dan berkebun.

Pada masa yang sama, mereka turut perlu diberi peluang untuk menonton rancangan televisyen kegemaran mereka.

Bagaimana pula dengan kanak-kanak yang disahkan positif COVID-19? 

Gambar Hiasan

Emosi seorang kanak-kanak sudah pastinya akan terganggu apabila perlu berpisah dengan ibu bapa atau ahli keluarga yang selama ini menjadi pelindung mereka. Perasaan takut, bimbang dan tertekan sudah pasti akan menyelubungi mereka.

Namun, dengan sokongan dari aspek moral, kerohanian dan juga sosial daripada para petugas kesihatan yang merawat anak-anak yang terlibat, ia sedikit sebanyak akan membantu menenangkan keadaan. Perkara ini dapat memastikan emosi mereka akan berada dalam keadaan stabil di samping mengelak berlakunya trauma.

Bagi kanak-kanak yang dibekalkan telefon bimbit oleh ibu bapa mereka digalakkan berhubung setiap hari bagi bertanyakan perkembangan kesihatan anak. Perkara ini, bagi memastikan mereka tidak rasa terpinggir dan terus mendapat sokongan daripada aspek emosi serta mental daripada keluarga.

Ibu bapa dan guru perlu memainkan peranan merekaGambar Hiasan

Guru Sekolah Kebangsaan Parit Lapis, Batu Pahat, Johor, Muhamad Fizri Jamal juga turut berkongsi satu inisiatif di mana guru boleh mengadakan sesi pembelajaran bersama murid-murid melalui aplikasi Whatsapp sepanjang pelaksaan PKP.

Dengan menggunakan segala kemudahan aplikasi tersebut kanak-kanak dapat belajar atau mengulangkaji pelajaran mengikut waktu masing-masing serta boleh diulang semula sekiranya tidak faham.

Ibu bapa pula perlu memainkan peranan dengan bertanya dan memantau aktiviti pembelajaran anak-anak mereka.

Kehidupan zaman kanak-kanak sangat penting bagi seseorang individu. jadi sebagai ibu bapa kita perlu memastikan emosi anak-anak kita sentiasa dalam keadaan baik.

Sumber

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...