Persaingan harga yang dicetuskan oleh jenama automotif dari China berisiko menjejaskan industri automotif tempatan terutama pengeluar peralatan asal (OEM) yang menjalankan operasi pembuatan di Malaysia.
Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd (PROTON), Roslan Abdullah, berkata walaupun tawaran diskaun besar-besaran oleh jenama tertentu memberi kelebihan kepada pengguna, ia turut memberi kesan negatif kepada vendor tempatan yang telah lama membekalkan komponen kenderaan.
Perang harga ini bukan hanya memberi tekanan kepada OEM yang memiliki kilang dan kemudahan pemasangan di Malaysia, tetapi turut menjejaskan vendor serta pengedar tempatan.
Lambakan stok meningkat
Dia turut menjelaskan, peningkatan lambakan stok berlaku apabila pelanggan lebih cenderung memilih kenderaan yang dijual pada harga murah, manakala sebahagian lagi memilih untuk menunggu dengan harapan harga akan terus menurun. Ini menyebabkan aliran jualan menjadi perlahan.
Selain itu, perang harga turut memberi kesan kepada pasaran kenderaan terpakai. Penurunan harga yang mendadak menjadikan nilai jual semula sesebuah kenderaan jatuh secara mendadak.
Contohnya, jika sebuah kereta jenama A dibeli pada harga RM100,000 tetapi dijual dengan harga RM80,000 selepas diskaun, ini akan menjatuhkan nilai pasaran kenderaan tersebut.
Akibatnya, perniagaan trade-in juga terjejas, dan orang ramai lebih berminat beli kereta baharu kerana harganya lebih murah daripada kereta terpakai.
OEM tempatan bergelut dengan jenama China
Dia turut menambah, OEM tempatan sukar menurunkan harga sehingga ke tahap yang ditawarkan oleh jenama China kerana kos operasi, pembuatan dan bekalan di Malaysia adalah jauh lebih tinggi.
Kami perlu kekalkan kelangsungan perniagaan. Tidak boleh turunkan harga terlalu rendah.
Tapi kami masih boleh tawarkan promosi seperti rebat tunai atau pakej aksesori untuk bersaing secara sihat.
Menurut Roslan, PROTON perlu berhati-hati supaya tidak menjejaskan keuntungan dalam jangka panjang kerana syarikat itu menggaji lebih 7,000 pekerja, di samping menyokong lebih 5,000 lagi dalam rangkaian pengedarannya.
Vendor besar mungkin boleh bertahan kerana mereka bekerjasama dengan pelbagai jenama, tetapi vendor kecil yang hanya bergantung kepada satu jenama pasti terkesan.
Tambahnya lagi, banyak jenama yang menurunkan harga mendapat kelebihan kerana mereka membawa masuk kenderaan secara import sepenuhnya (CBU) atau memasang secara separa (SKD). Kaedah ini memerlukan pelaburan yang lebih rendah berbanding OEM tempatan seperti PROTON.
Kos operasi mereka lebih rendah, jadi mereka mampu tawarkan diskaun besar. Tapi ini memberi tekanan besar kepada syarikat yang benar-benar melabur dan beroperasi di Malaysia dalam jangka panjang.
Roslan menekankan pentingnya kajian semula dibuat terhadap kesan perang harga ini demi melindungi jenama tempatan yang telah lama bertapak dan melabur di negara ini.
Malaysia memang mengalu-alukan pelaburan asing (FDI), tetapi perlu ada keseimbangan. Jenama tempatan yang menjalankan pemasangan tempatan (CKD) dan membangunkan rangkaian vendor sendiri juga perlu diberi perlindungan supaya terus kukuh dan bersaing.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.