Mengetahui ada pihak tidak bertanggungjawab bertindak mengedarkan produk kosmetik tiruan jenama miliknya, pelakon dan usahawan terkenal Wawa Zainal dan suaminya Aeril Azfrel tampil sertai serbuan di sebuah premis di Taman Putra Utama, di Kangar.
Menurut laporan Astro Awani, pasangan itu tampil bersama sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis, ke premis yang mengedarkan produk kosmetik tiruan jenama Wawa Cosmetics by Wawa Zainal.
Lebih perit, Wawa berkata, syarikat berkenaan juga khabarnya menggunakan cap dagangan tidak berdaftar yang seakan-akan sama dengan cap dagangan berdaftar miliknya.
“Apa yang dikesalkan adalah ia seolah-olah mengelirukan pengguna. Cap dagangan ini bukan senang untuk didaftarkan malah ia memakan masa hampir dua tahun untuk diluluskan oleh pihak KPDNHEP selepas melalui prosedur tertentu. Justeru sekiranya pihak terbabit berterusan menggunakan cap dagangan ini, ia adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab.”
Dalam pada itu, Pengarah KPDNHEP Perlis, Norazah Jaapar, memaklumkan lebih 5,542 unit peralatan kosmetik dianggarkan bernilai RM210,596 dirampas pihaknya dalam serbuan berkenaan, malah berjaya menahan sebanyak 16 individu termasuk seorang lelaki yang juga pemilik perniagaan berkenaan bagi membantu siasatan.
“Hasil siasatan mendapati premis terbabit telah beroperasi lebih dari tiga tahun dan turut menjalankan perniagaan menggunakan sistem ejen selain dijual di dalam talian. KPDNHEP juga telah melihat iklan mengelirukan yang telah dikeluarkan oleh syarikat milik ahli perniagaan terbabit. Tindakan itu boleh memanipulasi persepsi pengguna kerana telah menggunakan logo pemilik asal.”
Dedahnya lagi, selain menjadikan premis di Taman Putra Utama sebagai pusat pengedaran, syarikat itu juga dipercayai memiliki sebuah gudang di Kedah.
Untuk rekod, jika sabit kesalahan, kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 yang memperuntukkan hukuman denda dan penjara.
Sumber: Astro Awani