Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), menegur Hafiz Hamidun dan isterinya, pengusaha kosmetik Siti Arifah Amin atau Joy Revfa agar berhenti daripada mendedahkan aib satu sama lain disebabkan kemelut yang berlaku dalam rumahtangga mereka.
Utusan Online melaporkan, Musa Awang berkata, tindakan membesar-besarkan isu pergolakan rumah tangga dan mendedahkan kelemahan pasangan kepada umum adalah sesuatu yang tidak sihat dan bertentangan dengan tuntutan agama Islam.
Mereka tidak sepatutnya berkongsi rahsia rumah tangga dan perkara-perkara penting lain kepada umum setelah membawa kes ke mahkamah kerana keadaan itu boleh menyebabkan prejudis dan menimbulkan fitnah terhadap pihak yang satu lagi.
Ia bukan sahaja memberi kesan buruk kepada mereka, malah turut menimbulkan perspektif negatif orang ramai terhadap institusi mahkamah syariah itu sendiri.
Musa menambah, apabila segala butiran penting yang sepatutnya dibincangkan secara tertutup di mahkamah dibawa keluar dan ‘dihidangkan’ kepada umum, adalah sesuatu tindakan yang tidak kena pada tempatnya.
Kesemua hal berbangkit seperti isu nafkah dan sebagainya perlulah dibincangkan dalam mahkamah secara adil dan pihak tertuduh boleh menjawab segala tuduhan tersebut dengan jelas, bukannya dibuka kepada umum.
Terdahulu, pasangan itu menjadi bualan hangat Netizen setelah kedua-dua pihak menghadakan sidang media mengenai masalah rumahtangga mereka yang dikatakan bermula setelah Joy Revfa gagal menyerahkan surat cerai yang dijanjikannya sebelum bernikah dengan Hafiz, menyebabkan penyanyi itu ragu-ragu mengenai status sebenar perkahwinan mereka. – via Utusan Online