Baru-baru ini dikhabarkan satu tragedi kehilangan kapal selam tentera laut Indonesia di Perairan Utara Pulau Bali pada Rabu lepas. Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi telah mengarahkan pihak tentera dan agensi melakukan misi mencari dan menyelamat (SAR) kapal selam KRI Nanggala-402 buatan Jerman yang hilang itu pada kadar maksimum, lapor Liputan 6.
Menurutnya, perkara yang penting dalam operasi berkenaan ialah keutamaan untuk menyelamatkan nyawa 53 kru yang hilang ketika menyertai satu latihan ketenteraan di luar pantai Bali.
Berhubung kejadian, Jokowi turut bersimpati kepada ahli keluarga kru kapal selam terlibat yang masih menunggu berita kehilangan pada Rabu lalu.
Jokowi telah mengarahkan Panglima Tentera Nasional (TNI), Hadi Tjahjanto, Ketua Staf Angkatan Laut, Yudo Margono dan Agensi Mencari dan Menyelamat (Basarnas) untuk melakukan usaha seoptimum mungkin.
Jokowi juga berharap agar semua masyarakat di Indonesia untuk berdoa agar proses mencari kapal selam yang hilang itu berjalan dengan lancar dan semua kru ditemukan dalam keadaan selamat.
Terdahulu, dilaporkan kapal selam buatan Jerman itu hilang kira-kira 95 kilmoeter ke utara Bali pada jam 4.25 pagi Rabu lalu. Dimaklumkan juga bahawa bekalan oksigen yang ada di dalam kapal selam berkenaan hanya kekal bertahan selama 72 jam sahaja dan berkemungkinan bekalan oksigen tersebut akan habis sehingga jam 3 pagi Sabtu.
Sama-sama kita doakan supaya misi pencarian ini berjalan lancar.