Tidak berpuas hati dengan arahan tugas dipercayai menjadi punca tujuh anggota tentera dari Kem Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dipukul, termasuk seorang yang kini kritikal.
Menurut kenyataan Tentera Darat Malaysia (TDM), siasatan awal mendapati seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) bertindak menggunakan kekerasan dengan menampar serta menumbuk mangsa di bahagian muka dan perut.

“Akibat daripada insiden tersebut, Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi telah tidak sedarkan diri dan diberikan rawatan kecemasan awal di Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) 25 RAMD sebelum dipindahkan ke Hospital Bentong.”
“Beliau kini sedang menerima rawatan rapi menggunakan alat bantuan pernafasan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah,” menurut kenyataan itu.
Enam lagi anggota dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun telah dibawa ke Hospital Bentong oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas keterangan mereka diambil.
Dalam pada itu, anggota PTTR yang disyaki terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
TDM memaklumkan bahawa pihaknya memandang serius kejadian tersebut dan satu lembaga siasatan telah ditubuhkan untuk mengenal pasti punca sebenar insiden.
“TDM sama sekali tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku yang menyalahi undang-undang dan peraturan sedia ada,” tegas kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta menghormati privasi mangsa dan keluarga. – SINAR HARIAN
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
