Berpuasa di bulan Ramadan merupakan salah satu kewajipan yang perlu dilakukan oleh umat Islam, kecuali bagi mereka yang mempunyai keuzuran tertentu.
Walau bagaimanapun, masih terdapat segelintir individu yang sengaja ‘ponteng’ puasa dan sanggup mencari jalan untuk mendapatkan makanan lebih awal.
Menurut laporan Sinar Harian, baru-baru ini sebuah premis di Tikam Batu, Sungai Petani telah diserbu selepas dikesan menjual makanan kepada pelanggan Muslim seawal jam 11 pagi.
Premis itu dipercayai menggunakan khidmat penghantar makanan bagi mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa.

gambar hiasan
Ketua Unit Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah (PAD) Kuala Muda, Shuib Ismail @ Yusuf berkata, operasi Ops Plastik Hitam mendapati peniaga menyediakan perkhidmatan bungkus dan hantar makanan dalam plastik hitam kepada pelanggannya.
Menurutnya, ketika serbuan dibuat terdapat dua penghantar makanan sudah sedia menunggu ‘tugasan’ mereka mengikut tempahan ke sekitar kawasan itu.
Ketika diserbu mendapati, peniaga sedang membungkus nasi yang ditempah. Terdapat pelbagai jenis lauk dan minuman yang siap dibungkus.
Dua lelaki juga mengaku sebagai runner dan akan buat urus niaga secara hantaran COD kepada pelanggan.

gambar hiasan
Difahamkan, ketika serbuan dilakukan, terdapat beberapa pelanggan dikatakan bertempiaran lari ke arah belukar di belakang premis dan ada juga yang sempat menaiki kenderaan sebelum berlalu pergi sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa bagi mengelak ditahan.
Lima individu telah diberi notis mengikut Seksyen 14, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014 kerana tidak menghormati bulan Ramadan dan diminta untuk hadir ke Pejabat Agama Daerah Kuala Muda dalam masa terdekat untuk siasatan lanjut.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.