Seorang pengendali stesen minyak Shell didapati cuai dan diperintahkan untuk membayar lebih RM54,000 sebagai ganti rugi kepada sebuah syarikat kereta selepas petrol tercemar air menyebabkan sebuah Porsche Cayenne rosak, memetik NST.
Mahkamah Majistret di Alor Gajah, Melaka, memihak kepada Malacha Sdn Bhd yang menyaman DMY dan Family Sdn Bhd atas dakwaan menyediakan petrol yang dikatakan tercampur dengan air di stesen minyak Shell berhampiran Sungai Petai pada 30 September 2023.
Majistret Dr Teoh Shu Yee memutuskan bahawa pihak plaintif berjaya membuktikan stesen minyak tersebut bertanggungjawab dalam membekalkan bahan api yang tercemar dengan air, yang menyebabkan kerosakan pada enjin kereta plaintif.
Menurut dokumen mahkamah, pengarah plaintif mendakwa bahawa SUV itu kehilangan kuasa dan rosak selepas mengisi minyak dengan petrol V-Power 97 di stesen minyak defendan pada 30 September 2023.
Kereta tersebut kemudian ditunda ke Pusat Servis Porsche dan, selepas pemeriksaan, didapati petrol yang dimasukkan ke dalam kereta plaintif tercemar dan bercampur dengan air.
Pada 3 Oktober tahun yang sama, defendan menerima emel daripada Shell Malaysia yang memberitahu dan melampirkan aduan yang dibuat oleh plaintif kepada syarikat tersebut.
Defendan kemudiannya melantik seorang juruteknik untuk memeriksa stesen minyak Shell bagi mencari tanda-tanda kebocoran air, namun pemeriksaan mendapati tiada bukti kebocoran.
Defendan mendakwa tiada aduan diterima selepas pemeriksaan. Namun, Teoh dalam hujah penghakimannya menyatakan mahkamah mendapati defendan gagal menunjukkan langkah berjaga-jaga yang munasabah, termasuk laporan pembacaan yang lengkap pada hari kejadian.
Mahkamah memutuskan pemberian ganti rugi sebanyak RM48,568.05 untuk kos pembaikan dan RM6,000 untuk yuran penilai bebas.
Mahkamah juga memberikan RM10,000 sebagai kos kepada plaintif.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.